Berjayalah Orang Yang Khusyuk Dalam Solat



Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabbil'alamin. Allahummassoli'ala Muhammad, wa'ala ali Muhammad.

Assalamualaikum. Bertemu semula kita di lembaran baru kehidupan dengan pinjaman nafas yang tidak terhitung nilainya. Segala puji bagi Allah SWT yang telah menghidupkan semula setelah Dia memberi waktu rehat dengan nikmat mati sementara. Salam sejahtera buat Junjungan besar yang amat dikasihi, Baginda Rasulullah SAW, ahli kelurga dan para sahabat seluruhnya.

(1) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.
(2) Yakni, orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.

Surah Al-Mu'minun (23:1-2)

Syukur kepada Tuhan yang Mentadbir sekalian alam kerana masih mengurniakan ilham untuk saya menggerakkan jemari menukilkan secebis penulisan ringkas sebagai muhasabah diri sendiri dan seluruh pembaca yang beriman. Pada pertemuan kali ini saya ingin mencoretkan tentang perihal sifat kehambaan yang wajib hadir dalam sanubari setiap insan yang bersyukur. Khususnya ketika kita ingin atau sedang menghadap Allah SWT terutama sekali ketika sedang solat.

Tidak perlu rasanya saya menghuraikan tentang syarat dan rukun solat yang saya pasti seluruh insan yang bertakwa sudah mengetahuinya. Apa yang ingin saya sentuh hanyalah sekilas pengucapan dan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh guru-guru saya beserta rujukan daripada beberapa buah kitab Feqah dan Tassawuf. Pengisian kali ini saya rasa amat berguna bagi insan yang kabur, leka dan susah untuk mendapatkan nikmat khusyuk ketika dalam solat khususnya.

Pertama sekali kita seharusnya peka dengan tindakan kita. Apakah tujuan kita melakukan kefardhuan solat itu sendiri. Ketika menghuraikan tentang perkara solat yang termaktub di dalam kitab Tassawuf "Penawar Bagi Hati", guru saya telah menanyakan satu soalan yang mudah tetapi sukar untuk dijawab tanpa ilmu yang sewajarnya. Mengapa kita perlu menghadirkan kalimah "Sahaja aku.." di dalam niat pada permulaan solat? Jawab beliau, Tujuan kita menghadirkan kalimah "sahaja aku.." di dalam niat ini untuk menyatakan keikhlasan kita dalam melaksanakan perintah Tuhan yang Maha Esa tanpa ada sebarang alasan terpaksa dan ikut-ikutan. "Sahaja aku.." bererti kita dengan rela hati dan sepenuh jiwa melakukan ibadah itu hanyalah kerana Allah SWT yang tiada sekutu bagi-Nya.


Seterusnya adalah penghayatan kita dalam ikrar kehambaan yang diungkapkan iaitu "Doa Tawajjuh" atau doa "Iftitah". Setiap ucapan yang dinyatakan dalam doa Iftitah perlulah diikuti dengan sifat kehambaan yang membenarkan sifat Ketuhanan yang dimiliki secara mutlak oleh Allah SWT. Kita berikrar bahawa solat, ibadat, hidup dan mati kita hanyalah kerana Allah, Tuhan yang menciptakan kita serta berjanji taat setia akan menuruti segala perintahNya dengan mengakui bahawa kita adalah dari kalangan orang-orang Muslim. Begitu juga dengan penghayatan yang perlu ada ketika kita membaca surah al-Fatihah. Konsep yang sama dengan pengertian doa Iftitah yang kita lafazkan. Puji-pujian tentang keagungan Tuhan yang membenarkan sifat Ketuhanan Allah dan penyerahan diri sepenuhnya yang mewakili sifat kehambaan kita.

Namun bukan semudah itu untuk kita merasai nikmat khusyuk yang terletak pada hati. Sudah lumrah bahawa hati ini akan berjalan jauh ketika tubuh kita tetap keadaannya tetapi ia akan fokus apabila kita sedang melakukan aktiviti. Apa ikhtiar kita untuk kembali fokus mendirikan solat? Apa yang kita seringkali terlepas pandang adalah aspek pemakaian dan pemakanan. Kita seringkali kurang menitik beratkan soal pemakaian untuk menghadap Tuhan, berbeza dengan penampilan kita untuk menghadap orang berpangkat. Ini kesilapan pertama yang seringkali dipandang remeh. Biar orang memandang kita selekeh tetapi janganlah tampilkan imej selekeh juga ketika menghadap Allah. Pakailah wangi-wangian yang bersesuaian yang dapat menghadirkan khusyuk. Keduanya adalah faktor punca rezeki itu sendiri. Jangan terlalu mudah menganggap setiap pekerjaan yang kita lakukan itu memberikan rezeki yang halal. Sebagai contoh, seorang pemandu lori. Kita tahu bahawa pekerjaan ini tidak melanggar hukum syarak secara zahirnya tetapi bagaimana jika lori yang dipandu itu membawa pelbagai jenis minuman yang tidak halal? Fikir-fikirkan.

Sebelum solat mintalah ketetapan hati untuk khusyuk. "Ya Allah, ini hambaMu ingin menghadapMu dalam solat, masukkanlah khusyuk ke dalam hatiku." Berjalan dan berdiri dengan menetapkan hati sebagai hamba yang hina, yang ingin menunaikan hak Tuhan Yang Esa. Renungi dan bersungguh-sungguhlah dalam setiap bacaan dalam solat terutama ketika rukuk dan sujud. Di sinilah keperluannya kita memahami setiap maksud doa dan bacaan dalam solat. Tujuannya adalah supaya hati dan akal bersatu membenarkan setiap lafaz bacaan kita. Rasanya cukup setakat ini dahulu bicara saya. Semoga diberi kesempatan untuk berkongsi ilmu yang sedikit ini pada pertemuan lain kali dengan keizinan Tuhan Semesta Alam.

Kebanyakan manusia itu memandang ringan tugasannya. Dari segi Feqah mungkin boleh dikatakan berjaya, bagaimana pula dari segi Tassawufnya? Semoga kita sama-sama bermuhasabah untuk menjadi hamba yang lebih bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Allah SWT. Insya-Allah.

Setiap ilmu yang indah dan benar itu adalah daripada Allah yang Maha Sempurna, kecacatan dari sumber ilmu itu adalah berpunca dari kelemahan diri saya sendiri. Subhanallah.


Comments

miss yatie said…
subhanallah...sesungguhnya kesempurnaan itu milik Allah

terimakasih atas perkongsian ini, ilmu yg sangat berguna