Pengaruh Budaya Gajet dan Laman Sosial

Assalamualaikum… Pembaca budiman, selamat sejahtera hendaknya menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran tidak terduga. Tetapi sebagai manusia, itulah lumrahnya. Tidak lepas daripada menghadapi apa jua bentuk ujian yang mendatang. Apa yang penting kita perlu selaraskan keseimbangan perjalanan akal dan tindakan yang perlu dan akan diambil. Jika niat kita untuk mencari rezeki melalui kemudahan yang disediakan melalui laman sosial ini, perbetulkan tujuan sebenar. Jangan sampai kita terjerumus dengan pelbagai masalah sahsiah seperti penipuan dan sebagainya.

Pada era ini kita sedang menjalani kehidupan di pentas teknologi yang pesat pertumbuhannya. Terutama sekali teknologi gajet dan media sosial elektronik. Kemudahan internet menjadi perkara biasa walaupun pada suatu ketika dahulu dipandang luarbiasa. Segalanya dihujung jari tidak kira maklumat yang memberi impak positif mahupun kesan negatif. Dalam mengharungi dan menikmati kehebatan ciptaan dari sumber akal manusia kita tidak boleh terus-menerus leka dengan permainan teknologi yang semakin hari semakin "penting" daripada "perlu". Sebagai contoh paling hampir adalah laman sosial Facebook yang semakin mencuri hati segenap lapisan masyarakat tidak mengira usia, bangsa dan jantina.

Perkembangan pelbagai laman dan pangkin media sosial kian menjadi budaya tidak kira di mana jua anda berada. Mentaliti segenap manusia telah menetapkan bahawa kemudahan gajet kini menjadi suatu kepentingan dalam kehidupan seharian. Pemikiran sebegini merupakan bencana besar yang dipandang remeh. Seharusnya kita meletakkan kemajuan teknologi sebegini hanya sekadar keperluan danbukannya sesuatu yang penting dalam hidup. Tidak menjadi kesalahan kepada sesiapa sahaja turut serta memeriahkan ruang media sosial sebegini sekiranya kita masih mampu mengawal kemampuan diri untuk berada dalam zon selamat.

Terdapat begitu banyak risiko budaya laman sosial yang seringkali tidak diendahkan oleh kita. Budaya ini secara tidak langsung telah menyebabkan perubahan sikap seseorang jika diteliti dengan lebih dekat lagi. Contohnya, kerana terlalu leka dengan komunikasi di laman-laman sosial tertentu sesetengah daripada kita tidak lagi ramah dan mesra dengan rakan realiti walaupun duduk semeja. Masing-masing sibuk dengan gajet di tangan melayani pelbagai jenis laman sosial semasa. Bagi yang ketagihan dengan permainan terus khayal dalam dunia mereka sendiri tanpa menghiraukan orang di sekeliling.

Selain daripada itu, pengaruh di laman sosial teramat besar impaknya terutama sekali jika berkaitan isu-isu semasa tanpa mengambil kira sensitiviti agama, kaum (jantina) mahupun bangsa. Kerana pengaruh pengisian dan perkongsian di laman sosial kita semakin menjauh dengan adat budaya kesopanan dalam melemparkan pendapat dan kata-kata. Ada bermacam-macam jenis manusia yang semakin berani menyuarakan pendapat dengan hebahan bahasa yang kesat dan tidak bermoral. Bukan ini yang dinamakan kebebasan bersuara di dalam sebuah negara demokrasi. Tujuan kebebasan bersuara adalah untuk berkongsi maklumat semasa berlakunya perselisihan pendapat dalam mencari penyelesaian yang dipersetujui secara damai.

Oleh yang demikian, sebagai kesimpulan yang dapat saya himpunkan di sini :

1. Jangan jadikan pengaruh khabar laman sosial sebagai berita benar kehidupan. Selidik kesahihan berita yang diterima dan jangan terlalu mudah untuk berkongsi maklumat yang tidak pasti kesahihannya.

2. Perbetulkan tujuan asal kita menyertai mana-mana laman sosial sekalipun. Jangan mudah melepaskan luahan kata-kata yang menyinggung sensitiviti sesiapa sahaja.

3. Jangan jadikan budaya gajet dan laman sosial sebagai pegangan yang berkepentingan dalam hidup. Pastikan kemudahan teknologi ini hanyalah sekadar keperluan mengikut peredaran zaman bukannya adat yang perlu dipatuhi.

4. Pastikan diri kita tidak terjerumus dengan perangkap media sosial yang menjurus kepada kemusnahan maruah diri, keluarga dan masyarakat umumnya.

5. Berikan ruang untuk akal yang menilai baik atau buruk sesuatu bahan yang didapati melalui penyebaran isi cerita dan berita di dalam laman sosial tertentu. 


Anda fikir anda seorang pengguna gajet dan kemudahan laman sosial yang berhemah? Fikir sekali lagi.

Comments

Nina Mirza said…
Arus teknologi seiring dengan masa. Cuma kita lah yang perlu bijak memanfaatkan teknologi ke arah kebaikkan.
Tepuk dada tanya akal dan fikiran.