Secebis Idea, Seribu Makna.

Assalamualaikum

Sesekali menongkah arus bagai mencipta sebuah hikmah. Namun, jika arus deras nescaya diri hanyut bersama gelombang. Dalam pana ilham meresap walau pandangan terasa gelap kehilangan punca cahaya.


1. Mencari Ilham
   
    Aspek mencari ilham adalah berkaitan dengan faktor persekitaran (lokasi, gelagat), rentetan peristiwa semasa (aktiviti), dan maklumat semasa (berita terkini). Bagi penulis yang mementingkan kualiti penulisannya, sudah semestinya setiap fakta yang ingin ditampilkan untuk tatapan umum itu bermanfaat. Walaubagaimanapun, tidak semua pembaca dapat menerima bahan yang ingin disampaikan itu. Adakalanya sesuatu isu itu masih boleh dipertikaikan kerana percanggahan pendapat mahupun pandangan. Namun yang demikian, sebagai seorang penulis yang bersifat profesional kita harus membuka segenap minda untuk menerima sebarang kritikan samada positif atau negatif. Justeru, perihal ini dapat membantu seseorang penulis itu menjadi lebih matang dan bisa memperbaiki mutu penulisannya. Akan tetapi, kebiasaannya faktor dari pengaruh emosi menguasai dan rasa ego membunuh profesionalime.

2. Pemilihan Gaya Penulisan

    Dari segi pemilihan gaya bahasa yang ingin digunakan juga menjadi faktor yang mampu meningkatkan mutu penulisan. Mungkin ramai yang menyedari akan kepentingan perkara ini, namun hanya sekadar memandang remeh sahaja. Adakalanya penilaian tentang sifat atau personaliti seseorang penulis itu bisa disalah tafsir setelah melihat corak penulisannya. Perihal sebegini berlaku adalah kerana tanggapan atau mentaliti yang terbelenggu di dalam benak setiap individu itu sendiri. Tetapi, bagi pembaca yang sudah mengenali penulis itu pasti mereka akan memahami tentang sifat sebenar penulis itu walaupun ternyata gaya penulisannya terpesong jauh dari personaliti yang ditampilkan. Walaupun sifat luaran tidak menggambarkan sifat profesional namun di kesempatan menulis untuk tatapan umum inilah seharusnya dijadikan pemangkin untuk mengubah tanggapan tersebut.

3. Pengisian Mesra Pembaca

    Menyentuh soal ini, sudah semestinya faktor pengisian yang yang bersifat profesional diperlukan. Walau seringkas fakta yang ingin ditonjolkan, penulis itu haruslah mengikuti beberapa syarat ketatasusilaan dalam penulisannya. Beberapa perkara harus dititikberatkan dan dijauhi seperti unsur konspirasi, agenda propaganda memudharatkan, sensitiviti perkauman atau jantina, serta aspek diskriminasi yang boleh mengakibatkan permusuhan. Tidak terlalu berat bagi penulis yang hanya sekadar "melepas batuk di tangga" dalam penulisannya.


Kesimpulannya, seorang penulis itu harus bijak menggunakan atau memanfaatkan seluruh aspek pengilhaman sepertimana yang telah dinyatakan dalam perkara 1 di atas. Pemilihan gaya bahasa mampu menonjolkan keterampilan seseorang penulis itu walaupun pada hakikat luarannya tidak menggambarkan begitu. Berfikir sebelum menilai. Sebagai seorang penulis yang profesional, seharusnya menjaga kepentingan tertib dalam setiap penulisan yang dihasilkan. Sekian.

p/s : Jangan sempitkan definisi profesional kepada gaya penulisan yang tampak formal. Walau apa sekalipun gaya bahasa yang anda gunakan, biarlah coretan itu bersifat profesional dengan menitikberatkan perkara yang telah disebutkan dalam perkara 3.

Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---

Comments