Naluri Dan Keegoan

SIRI 1 - Berbudi Pada Tanah

Mentari kian memancar di sebalik awan kumulunimbus. Cerah, menandakan cuaca yang baik untuk aktiviti luar. Baju pagoda nipis dan seluar jeans pudar kebiruan meliputi sekujur tubuh seorang lelaki. Dengan sehelai tuala kecil tersangkut di bahu, dia mencapai sebilah parang panjang yang terselit di celah almari dapur. Dia menyalakan gulungan rokok nipah di mulutnya.

"Kau hendak ke kebun pisang Amran?" Sayup kedengaran suara seorang wanita di penghujung usia.

"Iya nek, hendak mengutip hasil untuk dijual kepada tauke Keong. Petang semalam tidak sempat siap kerana hujan lebat." Amran menyahut lembut pertanyaan neneknya yang telah menghabiskan suku daripada usia menjaga dan mendidiknya.

"Sudah nenek suruh Aisyah siapkan bekalan untuk kau sebelum dia ke kelas menjahit tadi. Nenek dapat mengagak yang kau akan keluar awal pagi." Nenek menyambung bicara.

"Terima kasih nek." Sahut Amran ringkas sambil dia mencapai bungkusan yang berisi bekas plastik dan sebotol air.

Di rumah kampung pusaka datuknya itulah tempat dia dibesarkan bersama abangnya Amri dan seorang adik perempuan yang bernama Aisyah. Tatkala mereka sedang melaui zaman kanak-kanak lagi mereka telah kehilangan kasih sayang daripada ibubapa. Pada waktu itu Amri masih berusia 6 tahun, Amran 5 tahun manakala Aisyah pula baru mencecah usia 3 tahun. Mereka belum sempat mengerti  nikmat kasih ibu dan bapa. Hanya pada nenek dan datuklah tempat mereka mengadu. Peristiwa tragis menimpa kedua ibubapa mereka sewaktu dalam perjalanan pulang dari pekan pada bulan Ramadhan. Tanpa diduga sebuah lori yang sarat dengan muatan barangan runcit hilang kawalan lalu merempuh mereka. Kedua-duanya menemui ajal di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian dada dan kepala. Hanya setakat itu sahaja kisah yang sanggup diceritakan oleh nenek tentang teragei berdarah yang menimpa kedua ibubapa mereka.

Kini, sudah hampir 20 tahun peristiwa itu berlaku. Arwah datuknya tenang serta pasrah dengan ketentuan Ilahi dan sering mengingatkan mereka agar jangan meratapi pemergian kedua ibubapa mereka. Sesungguhnya Tuhan lebih menyayangi mereka. Di rumah tua itu kini tinggal Amran, Aisyah dan neneknya sahaja. Amri telah merantau ke bandaraya besar selepas dia dengan jayanya menamatkan pengajian di sebuah sekolah politeknik yang terletak di pekan. Dia tekad dengan keputusannya meninggalkan kampung walaupun ditegah keras oleh arwah datuk. sejak itu dia tidak pernah pulang menjenguk mahupun mengirim sebarang perkhabaran. Amran hanya sempat belajar sehingga tingkatan 3 sahaja dan selebih usia remajanya dihabiskan dengan mendampingi arwah datuknya sebelum orang tua itu menghembuskan nafas terakhir ketika Amran memasuki usia 21 tahun. Adiknya Aisyah sempat menamatkan pelajaran sehingga menduduki peperiksaan SPM. Kini Aisyah giat belajar menjahit di Pekan. Sejak datuknya meninggal dunia, Amranlah yang menjadi ketua keluarga dan bertungkus-lumus mencari nafkah untuk menampung kehidupan mereka seharian di kampung. Tidak pernah dia bersungut sepanjang memikul tanggungjawab berat itu.



Keringat kian menitis dari dagu. Amran dengan sepenuh daya tulang empat keratnya memangkas tandan-tandan pisang. Tauke Keong tiba dengan lori 1 tan. Dia keluar dengan sebuah alat penimbang di tangan. Dengan senyuman terukir Tauke Keong menghampiri Amran sambil menyapa.

"Wah, banyak lagi baki tandan pisang yang belum dikutip ya Amran?"

"Iyalah tauke, saya sendirian mengerah keringat seterdaya mungkin. Saya sudah kepenatan. Baki yang tinggal itu nanti petang pulalah saya sambung mengutipnya." Amran menyahut sapaan tauke Keong sambil mengesat peluh di dahi.

"Boleh, boleh. Yang ada ni saya hantar ke pasar dahulu. Saya akan datang lagi petang ni. Tak perlu tergesa-gesa. Lagipun pisang-pisang yang telah kamu kutip ini hampir 200 kilogram. Duitnya akan saya beri setelah jumlah semua hasil diperolehi nanti" Tauke Keong membalas sambil ketawa kecil.

"Saya agak baki yang belum dikutip lebih kurang 150 kilogram lagi. Petang ni siaplah kalau tiada aral melintang" Jelas Amran.

Tauke Keong menutup pintu lori dan menghidupkan enjin. Dia mengangkat tangan ke arah Amran sebelum berlalu. Semakin lama semakin sayup kedengaran bunyi deruman lori. Amran dengan langkah longlai menuju ke sebuah pondok beratapkan zink yang dibina olehnya sendiri untuk tujuan merehatkan badan dan menikmati bekalan makanan. Di pondok kecil itu jugalah dia akan mendirikan solat apabila masuk waktu.

Matahari kian tegak di atas kepala. Selesai menikmati bekal nasi goreng yang disediakan oleh adiknya, Amran mencuci tangan dengan air dari sebuah baldi yang terletak di sudut pondok itu. Sengaja dia menyimpan sebaldi air bersih  di dalam pondok itu dengan tujuan untuk berwuduk dan sebagainya. Jadi, tidak perlulah dia menapak kira-kira 1 kilometer dari situ ke sebatang tali air. Rokok gulung daun nipah dinyalakan. Kepulan asap putih keluar berkepul-kepul dari rongga mulut dan hidung. Matanya kian layu. Sementara menanti masuknya waktu Zohor, Amran cuba melelapkan mata sebentar. Puntung rokok ditenyeh ke tanah. Dia menyandarkan tubuhnya yang letih ke dinding.

"Percayalah dengan apa yang dinyatakan oleh nalurimu Amran. Abaikan setiap setiap perkara yang bersifat omong kosong. Teguhkan pendirianmu sepanjang mengharungi onak ranjau kehidupan ini. Akan datang padamu satu demi satu ujian yang bisa menggugat iman dan keyakinanmu. Bertegaslah dengan setiap tindak-tandukmu sendiri. Berserahlah seluruh jiwamu kepada yang maha Pengasih lagi maha Penyayang." Amran tersentak dan terjaga dari tidurnya.

"Astagfirullah!" Desis hati kecilnya berulang kali.

Terngiang-ngiang akan suara garau seorang lelaki tua lengkap dengan jubah putih serta berserban di kepala. Dia amat mengenali akan wajah yang menjelma dalam mimpinya itu. Wajah arwah datuk yang telah meninggalkan dunia fana ini hampir 3 tahun yang lalu. Wajah seorang insan yang telah mewariskan segenap ilmu dunia dan akhirat padanya. Mana mungkin dia akan melupai wajah orang tua itu. Wajah tanpa kumis yang tampak bengis dan bersahaja. Hanya himpunan janggut panjang yang dijaga rapi. Amran termenung sambil memikirkan setiap ulas bicara dan cuba merungkai apakah mesej yang cuba disampaikan melalui mimpinya itu. Berkali-kali dia mengurut dahinya. Dia memandang jam di tangan. Waktu menghampiri pukul 2.00 petang. Dia bingkas bangun dan berwuduk.

Selesai bersolat, dia mencapai parangnya menuju ke arah rimbunan pokok-pokok pisang yang masih belum ditebang untuk dikutip hasilnya. Fikirannya masih lagi melayang memikirkan akan suara dari mimpinya sebentar tadi. Terus-terusan dia cuba memahami setiap butir bicara yang didengar dalam mimpi itu. Apakah agaknya pesanan tentang dugaan yang diungkapkan oleh arwah datuk melalui mimpinya? Adakah sekadar mainan tidur yang dikuasai oleh syaitan? Pelbagai andaian bermain di benak dan akal Amran. Tanpa sedar dia telah menebang pohon yang terakhir. Amran segera keluar dari mainan perasaan yang menguasai fikirannya dan kembali fokus pada tugasnya. Dia mengumpul setiap tandan-tandan pisang yang telah dipangkas di satu tempat supaya mudah untuk ditimbang apabila tauke Keong sampai nanti.

Jam menunjukkan pukul 5.00 petang. Kedengaran deruman lori menghampiri. Amran melambaikan tangan ke arah tauke Keong.

"Petang ni hasilnya 130 kilogram. Semalam 83 kilo, campur pagi tadi 194 kilo jadi jumlah semua 407 kilogram. Cuba kau kira balik" Tauke Keong menghulurkan kalkulator kepada Amran.

"A'ah, betullah jumlahnya ni" Amran mengangguk puas dengan jumlah perolehannya kali ini.

Tauke Keong segera mengira sejumlah wang dan menyerahkan kepada Amran.

"Kau kira balik, mana tahu ada yang lebih terselit. Hasil kali ini lebih banyak dari yang lepas ya Amran." Dengan sengih di bibir tauke Keong bergurau.

"Cukup. Dengan wang inilah saya nak menampung kehidupan sekeluarga sementara menunggu hasil seterusnya. Selesai mengutip hasil yang ini, nak kena tunggu lagi beberapa minggu pula. Kalau silap gaya belanja, alamat makan pasirlah kami sekeluarga." Amran membalas gurauan tauke Keong bersama ketawa kecil.

Di bawah kehangatan mentari petang Amran melangkah pulang dengan penuh kepuasan. Dia amat puas dengan hasil yang diperolehi. Terkenang dia akan kata-kata arwah datuknya.

"Kalau kita bersunguh-sungguh berbudi pada tanah dengan niat yang tulus, nescaya budi kita akan terbalas dengan izin dan rahmatNya."

Amran duduk di anak tangga sambil memberi salam. Berkali-kali dia memberi salam namun tidak bersahut.

"Eh, ke mana pula perginya nenek dan adik ni?" Persoalan muncul di benaknya.

Bersambung...

**Setiap watak dan jalan cerita dalam siri ini hanyalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Jika ada sedikit persamaan dengan kisah-kisah yang benar, itu hanyalah secara kebetulan**


Dari Pena Penulis,

--YUSENZE-- 2010

Comments

Unknown said…
amri,amran,aisyah....

cepat2 sambung ea...
mata terasa panas saat menghayati kisah ini....
ehehe~~~ idea untuk siri kedua sedang dalam peringkat pertengahan... idea ikut mood, dapat terus karang je...

Deco, THANX sudi menghayati...
ISZA said…
lol,
ngatkan semua dah lengkap..
guna kaedah itu rupanya..
xpe2 teruskan berkarya!
ape2 jer said…
fuyoo mmg mcm ayat2 novel ehe..tp klu boleh la..time yg perbualan tu ko try kasi lbh tk sastera sgt..susah la nk terang kt ko maksud aku tu hehe..tapi dah ok la ni..mgkn aku yg tak biasa kot sbb dah lama x baca novel wakaka
Kanda Isza : Mmg niat menyaspenkan pembaca... dibantu faktor internet yg lembap, lagi bnyak idea mengarut... aha
Cik ..., aku paham beno akan maksud kata2mu, walau dikau memintalnya dengan buih sekalipun... wakaka~~~ aku saja buat pendekatan guna ayat2 novel untuk dialog. x semua karya aku guna cara ni... harap maklum...