Assalamualaikum.
Bersempena sambutan Hari Belia Negara yang bakal berlangsung pada 14-16 Mei 2010 bertempat di Putrajaya, Information Technology Youth Movement (ITYM) telah menganjurkan satu kontes pencarian "50 Blog Belia Kreatif". Sambutan pada kali ini adalah bertemakan "Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara". Tujuan pencarian ini adalah untuk mengetengahkan bakat serta hasil penulisan para belia melalui laman blog. Bagi setiap penyertaan yang terpilih bakal dipamerkan di gerai khas ITYM. Peserta akan menerima sijil penghargaan dari Kementerian Belia dan Sukan. 50 blog yang terpilih itu juga akan dihimpunkan untuk diserahkan kepada yang behormat Perdana Menteri.
Sosiologi
Dengan perencanaan program seperti ini, secara tidak langsung dapat mendekatkan golongan belia dengan kerajaan. Di samping itu juga, golongan belia bakal menerima pendedahan positif dalam jatidiri untuk meneruskan kesinambungan dalam pembangunan negara. Sewajarnya pujian harus diberikan kepada pihak ITYM dalam usaha mendekatkan para belia dengan pihak kerajaan. Dalam masa yang sama program seperti ini juga dapat menjauhkan golongan remaja dari gejala yang tidak berfaedah. Golongan belia akan rasa lebih dihargai melalui karya-karya prolifik yang selama ini hanya tersimpan sebagai khazanah di dalam blog serta kurang diketahui umum.
Emansipasi
Sejujurnya saya berasakan dengan pelaksanaan sesuatu program sebegini dapat memberi ruang kepada para belia untuk lebih maju ke hadapan. Dewasa ini, setiap belia kebanyakannya lebih terdedah kepada sumber maklumat yang disalurkan melalui ruang siber. Di ruang yang tiada sempadan ini sebenarnya banyak memberi pengaruh kepada para belia dalam mencari hala tuju. Tidak dinafikan begitu banyak faktor-faktor dari sudut positif mahupun negatif. Oleh yang demikian, program anjuran ITYM yang sebegini sifatnya banyak membantu golongan belia supaya lebih menjurus kepada unsur yang positif. Di sini saya melihat, ITYM bertindak sebagai pemangkin kepada golongan belia untuk mendekatkan diri dengan pihak kerajaan. Secara tidak langsung, pendedahan para belia kepada dunia blog dapat mencetuskan gejala yang amat positif iaitu gejala minat membaca.
Kreativiti
Pendekatan ITYM yang menganjurkan program ini seharusnya direbut oleh segenap belia sebagai batu loncatan untuk mengetengahkan daya kreativiti tersendiri. Ini adalah suatu peluang untuk belia tampil dengan penuh keyakinan menonjolkan bakat serta daya kreatif yang selama ini hanya terpendam. Saya yakin, penganjuran aktiviti sosial oleh ITYM ini adalah terbuka kepada semua golongan belia tidak mengira rupa mahupun darjat. Ini merupakan ruang yang sesuai untuk para belia dari pelbagai golongan untuk menyangkal tanggapan umum bahawa jika anda adalah seorang mat rempit atau sebagainya, anda juga mampu untuk mengetengahkan idea yang bernas sebagai pencetus ke arah pembangunan negara. Saya percaya, terdapat ramai penulis blog yang berimej tidak enak dari pandangan mata masyarakat tetapi mempunyai corak pemikiran yang lebih kreatif.
Harapan
Kepada para belia yang aktif dalam dunia blog, marilah kita sama-sama terus menghasilkan karya prolifik yang bisa menjadi rujukan. Kita adalah golongan pelapis yang bakal meneruskan kronologi pembangunan negara agar terus mara ke hadapan. Jaringan sosial secara maya melalui laman blog ini dapat menjadikan kita lebih berdaya saing dalam usaha meningkatkan keazaman untuk lebih berdaya kreatif. Sesungguhnya kata-kata itu adalah lebih tajam dan mampu mengubah corak pemikiran manusia.
Kepada pihak kerajaan, saya harapkan agar idea para belia tidak dipandang remeh. Sememangnya kami dari golongan belia, kekurangan dari segi pengalaman serta naif tetapi kami juga berhak menyuarakan pendapat untuk memacu ke arah negara membangun. Seharusnya kami diberi ruang untuk berkongsi pelbagai maklumat dan idea melalui penulisan blog. Pendekatan pihak kerajaan kepada penulis-penulis blog dari golongan belia seperti kami adalah suatu pendekatan yang amat dihargai. Saya juga berharap agar program-program yang melibatkan belia seperti ini akan terus giat diadakan pada masa-masa akan datang.
Sekian.
Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---
Comments