"Silap cakap kena radak, hilang jiwa percuma saja."


Assalamualaikum...

Siapa itu sahabat? Apa itu rakan? Bagaimana pula teman?

Bermula dari perkenalan tercetus sebuah fenomena yang bertatahkan istilah sahabat handai ataupun rakan taulan. Dari situlah bermulanya epik yang membuahkan istilah sahabat karib. Bukan semua taulan itu akan menjadi karib. Tidak semestinya yang karib itu akan berkekalan. Seringkali kronologi ini dipengaruhi oleh faktor emosi dan sentimen. Mentaliti yang goyah dalam mempertahankan status yang agung ini bisa bikin porak peranda. "Daripada banyak seteru, lebih baik banyak sahabat"

Pengaruh
Pandangan mahupun persepsi yang berkaitan perihal ini ada ketikanya menjadikan kita hilang arah. Mengapa ini boleh berlaku? Sebenarnya minda kita mudah terpengaruh dengan anasir yang berbentuk khabar angin. Rasa was-was mula meracuni fikiran dan semakin lama ia semakin menular ke memenuhi ruang kepercayaan. Walau ia hanya umpama setitis nila, tetapi ia mampu meruntuhkan keteguhan sebuah tembok persahabatan.

Perintah
Dari jiwa-jiwa yang bersenang-lenang dengan senda gurau, racun sebuah anasir semakin mereputkan. Birokrasi menebal dalam diri. Semakin hari semakin bercanggah dari apa yang disasarkan. Masing-masing punya ego. Rasa sangsi untuk berterus-terang. Menyatakan kebenaran mahupun mendedahkan sebuah penipuan. Etika ini perlu disanggah dari terus menguasai dan memagari fikiran. Sentimen itu lebih berbisa tatkala tidak dapat dibendung. Bagaimana hendak lari.

Identiti
Dari titik permulaan lagi dibayangi permasalahan ini. Personaliti seolah lakonan, hakikat hanya dipendam. Mata-mata hanya memandang serong dengan kerenah. Luaran seakan tersenyum girang namun dalam jiwa bergelora menadah setiap rona-rona. Keserasian yang mula diraih kian beransur lusuh. Seolah saling tidak mengenal. Salah diri sendiri juga kerana berselindung. Tidak gembira jika bersifat kepuraan bahkan lebih memedihkan. Tutur bicara tidak perlu selindung. Cuma harus berhati-hati kerana bukan segenap perasaan di sekeliling mampu menerima.

Paradigma
Yang enggang sama enggang juga, yang pipit sama pipit juga. Tidak pernah keluar dari kepompong ini. Dasar paradigma yang tertanam sejak azali. Kadangkala tercari-cari juga "Mara hinggap mara terbang, mara bergesel sambil lalu, enggang lalu ranting patah." Dasar yang terpalit kerana pengaruh sekitar ini bikin hati jadi sangsi. Mahu mudah sahaja, yang susah jauhkan diri.

Kesimpulan
Mungkin ramai yang tertanya-tanya dan sakit kepala hendak memahami apa yang aku tulis di atas. Bukanlah suatu yang serius sedang melanda di jiwa ini, sekadar berceloteh dalam bahasa naluri. Teman sebagai pedoman. Hakikat yang seringkali kita dengar "kawan makan kawan", perkara rakan karib yang tidak seakrab dulu, kawan masa senang dan macam-macam hal lagi. Aku pernah menjawab dalam sebuah forum, "Friendship is relationship, the different only the ship". Di sinilah kepersisan kata-kata yang aku ungkapkan itu cuba dihuraikan. Kadangkala kita seringkali terperangkap dengan sentimen kita sendiri. Sebagai contoh, bekas kekasih kita kini sedang berkasihan pula dengan salah seorang rakan yang dianggap karib. Mengapa kita hendak memutuskan hubungan persahabatan semata-mata kerana perkara ini sedang berlaku??? Jika ada sesiapa yang ingin menyangkal rentetan yang tercoret di atas, dipersilakan. Sekian.

p/s : Aku tak ada kena-mengena dalam cerita di atas. Tapi aku cuma ambil iktibar dari apa yang aku lihat.
pss : Aku adalah aku, andai engkau tidak dapat menerima hakikat ini aku sedia menerima saranan.


Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---

Comments