Kemelut Di Muara Kasih

 Sekadar gambar hiasan

Assalamualaikum...

Krisis

Definisi - keadaan tidak stabil atau tidak tenteram yg boleh secara tiba-tiba menyebabkan sesuatu kejadian (perkembangan, perubahan, dll), keadaan yg lazimnya mendatangkan kesan buruk, keadaan yg genting, kegentingan, ketegangan, keributan.

Bersinonim dengan - ketegangan, kegentingan, keributan, perbalahan, pertikaian, persengketaan, pertengkaran, kemelut, konflik, konfrontasi.

Jiwa - Bersinonim dengan  nyawa: roh, semangat, atma, sukma, tubuh halus

---------------------------------------------------------------------

Ada ketika kita rasa amat gembira dengan persekitaran dan keadaan diri sendiri. Namun ada waktunya kita rasa amat celaru sehingga mengakibatkan tercetusnya krisis dalam jiwa. Tekanan yang tiba tanpa diundang adalah berpunca dari kesilapan dan keegoan kita sendiri. Segalanya bergantung kepada kaedah atau cara kita memanipulasikan setiap tekanan yang hadir menjadi sumber inspirasi untuk meningkatkan keterampilan diri dari sudut psikologi.

Setiap individu tidak dapat lari dari masalah. Ini adalah fakta yang tidak dapat disangkal sama sekali. Sebagaimana takrif masalah itu sendiri adalah kesulitan, kerumitan, isu atau hal yang pasti kita perlu hadapi setiap hari. Antara pepatah yang lazim digunakan adalah "Ditelan mati emak, diluah mati bapa" yang membawa maksud menghadapi sesuatu masalah atau kemelut yang sangat sulit atau dalam ertikata lain dalam keadaan serba salah.

Masalah yang dihadapi kadangkala memberi tekanan yang amat berat sehingga menyebabkan beberapa kesan sampingan yang memberi kemudharatan terhadap individu tertentu. Antara faktor yang jelas terpampang di jendela mentaliti kebiasaannya adalah tekanan perasaan kerana putus kasih. Perihal putus kasih ini memberi impak yang negatif terhadap segelintir individu. Merangkumi aspek fizikal dan rohaniah. Tekanan ini menjadi punca kepada masalah psikologi iaitu kemurungan dan secara tidak langsung memberi kesan juga terhadap aspek fizikal.

Antara faktor lain yang menyumbang kepada tekanan adalah hal-hal berkaitan persekitaran. Hal ini merangkumi aspek keharmonian dari segi kejiranan dan juga suasana tempat kerja dan sebagainya. Tidak dinafikan bahawa kadangkala kita berasa tertekan menghadapi persekitaran yang menjelekkan. Sekali lagi lagi kita dirundung dengan perasaan serba salah. Bimbang dan sangsi untuk merungkai dan menyuarakan pandangan secara umum. Takut benar jikalau kata-kata teguran yang ingin dinyatakan bakal menyinggung perasaan orang lain.

----------------------------------------------------------------------

Setiap perkara yang tiba pasti tersembunyi hikmahnya. Kita seharusnya bingkas untuk menangani setiap tekanan yang dihadapi sebijak mungkin. Jika jiwa masih lagi berkeadaan serba salah, jadikan teman-teman yang boleh dipercayai sebagai rujukan. Kongsikan masalah yang dihadapi walaupun hakikatnya masalah itu tidak bisa dibantu sekurang-kurangnya diri tidak rasa terasing. Tetapi harus diingat, bukan semua teman dapat menjadi seorang pendengar yang bagus. Hanya minoriti dari ribuan teman yang boleh dianggap sebagai tempat mengadu.

Antara kaedah lain untuk memanipulasikan tekanan adalah dengan cara melakukan aktiviti riadah atau perkara yang mampu menenangkan fikiran. Jangan biarkan diri terus terkongkong oleh perasaan sendiri. Oleh kerana orang lain tidak bisa menggembirakan diri kita jadi kita perlu bertindak untuk melakukannya sendiri. Pengaruh sentimen pedih yang tertanam dalam jiwa perlu disingkirkan untuk membuka ruang baru. Secara tidak langsung tindakan ini memberi peluang untuk jiwa berkompromi membuka lembaran yang lebih bermakna. Sekian.

---------------------------------------------------------------------

***20 Jun 2010, penulis pergi menenangkan jiwa bersama seorang lagi teman penulis blog, En.Azizan Kadir. Kami melakukan aktiviti riadah (bermain bowling) sambil melakukan aktiviti mencuci mata. Selepas itu kami menjadi pengulas perlawanan antara pasukan ITA vs NZL di sebuah kedai mamak yang suram. (>__<) Mata rasa cerah, jiwa lara jadi gembira.***


Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---

Comments