Konflik dalam jiwa makin parah, bibir senyum mesra.

Assalamalaikum...

Kesempatan yang singkat. Masa suntuk diluangkan sejenak. Mencoret secebis lembaran sekilas luahan. Waktu terus berdetik dengan nada sekata. Jemari longlai menari di penal kekunci.

Kadangkala diri rasa tercabar oleh persekitaran. Melihat keindahan panorama mesra segelintir kelibat manusia bermesra-mesra. Cemburu? Kadangkala bangkit rasa meluat apabila melihat aksi spontan yang jelek. Di mana letaknya tatasusila dan peradaban. Mungkin perkara adat membentuk budaya itu semakin jauh dari sudut hati setiap insan. Peredaran arus ketamadunan mengubah kebanyakan persepsi tentang gaya hidup yang dianggap ketinggalan. Walhal pada hakikatnya, adat dan budaya itulah yang sebenarnya teras untuk membentuk jatidiri.

Anjakan yang berlaku dewasa ini mendahului kemampuan. Pusingan waktu yang beredar semakin pantas dirasai. "Luas pandangan, jauh perjalanan." Gejala berleluasa. Positif dan negatif sama rata sahaja nisbahnya. Identiti ditonjolkan beperwatakan berani mati. Luaran!!! Dalam jiwa kekosongan. Pendidikan perihal duniawi lebih diutamakan. Kalau dulu-dulu perit dirotan atas tapak tangan kerana tersilap harakat sepotong ayat hafazan. Sekarang, dicuit sedikit kecoh segenap pelusuk. Dalam media pula bagai bencana digembar-gemburkan.

Bukan berleter, tetapi mengambil kesempatan bersuara. Walaupun tidak layak sebenarnya. Pendapat ikhlas. Bukan berbentuk propaganda. Lain orang lain sudut pandangannya. Ada yang melihat dari sudut yang sempit dan terus memutuskan tanpa budi bicara. Ada pula yang terlalu berhati-hati tetapi hasil keputusan porak-peranda. Renung-renungkan. Yang mana rasa perlu, amal-amalkan.

Sekian.

Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---

Comments

LadyBird said…
yus.. mendalam maksud coretan ini..