Setengah Tahun 2010 - Ada suka, ada duka.


Assalamualaikum...

Bismillahirrahmanirrahim sebagai pembuka tirai bicara. Alhamdulillah, dipanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Tuhan empunya dunia. Nikmat dunia merangkumi akal disuluhi pancaindera penggiat amal pencetus idea. Naluri berkata, begitu indah barada dalam hikmah ukhuwah. Walau nyata mahupun maya. Semoga berterusan nikmat ini dirasa tanpa ada sebarang sengketa. Cetusan dari nurani membawa berkat walau hanya secebis luahan bisa terungkap. Aspirasi persekitaran disulam pengalaman menjadi buah fikiran dikongsi menjadi pedoman mahupun sempadan. Bangga diri bukan bermaksud untuk dicanang tapi sekadar menjadi inspirasi untuk dikongsi. Teman sebagai pedoman. Istilah biar usang, tetapi maksud tersirat membawa kesan. Biar perit untuk ditelan, biar bertongkah arus menyusur gelombang namun bumi dipijak jangan dilupa. Langit dijunjung terus dijunjung.

Setengah tahun sudah melalui detik perjalan hidup di lembaran 2010. Pelbagai suka-duka dilalui. Terus hidup harus dijalani. Peristiwa pahit jadi pengajaran. Tanggal 15 April 2010 menjadi tanda peringatan. Musibah mendatang bukan dipinta. Pengalaman kemalangan membawa hikmah. Diri kini lebih berwaspada menyusuri laluan walau ternyata di papan tanda terpampang rujukan "Jalan Sehala". Trauma dirasa, kerana hakikat bukan kita yang menjadi punca. Kini pancaindera semakin peka.

Rentetan diari terus berjalan tanpa bisa disekat mahupun ditunda. Perencanaan hanya sekadar penanda. Namun kesudahan ditentukan oleh-Nya. Qada' dan Qadar tersemat erat, rapat dan mampat di dalam dada. Di sebalik duka ada nikmat bahagia. Bukan semua mampu merasa. Ini bukan kisah cinta. Ini soal keinginan dan kesungguhan. Susun atur bicara menjadi rahsia. Berkat kesabaran mencurah sekelumit masa dengan sepenuh jiwa begitu indah dirasa hingga titisan airmata jantan menitis tanpa sedar.

Sebenarnya diri ini berasa amat terharu di sebalik gembira. Mungkin benar kata pepatah "Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu". Dikesempatan ini, sekali lagi penulis ingin berterima kasih kepada rakan-rakan maya yang senantiasa memberi sokongan dan dorongan untuk penulis lebih teruja dalam berkarya.

Tujuan entri kali ini adalah untuk meluahkan sanjungan kepada semua taulan. Ini bukan entri yang membawa riak, tetapi sekadar berkongsi perasaan. Sesungguhnya, kalian adalah sumber yang membangkitkan cetusan idea. Tangkis segala persepsi aneh. Cemburui jika perlu. Mungkin detik ini adalah detik yang membawa tuah kepada blog CEREKARAMA. Detik-detik mendatang giliran kalian pula. Insya-Allah.

Terdorong oleh desakan rakan membawa erti. Bermula dengan penganugerahan diterima dari penyertaan kontes ITYM bagi kategori nukilan jiwa bangsa. Hari berikutnya diberitakan oleh sahabat (En.Diden) bahawa blog "Naluri-Ini" diangkat sebagai pemenang di tempat kedua bagi kategori memanipulasi gambar. Sebenarnya penulis bukannya handal dalam kategori ini, malahan perisian yang digunakan hanya yang asas sahaja. Semalam, tanggal 9 Jun 2010 diberitakan pula dengan khabar yang lebih bermakna. Terpilih sebagai pemenang utama dalam kontes MATEMATIKOMEN anjuran insan disayangi Kekanda Isza atau lebih dikenali umum sebagai Cikgu Isza. Walaupun penyertaan secara terpaksa rela, tetapi Alhamdulillah tersemat sejuta nikmat.

Ini penulisan sebagai ilham kepada teman yang seangkatan berkarya di ruangan maya ini. Mungkin terkadang ada tersisip kasar budi bahasa, tetapi bukanlah bermaksud memula sengketa. Ada ketika rasa kecewa juga kerana ramai yang meninggalkan kesan di ruang bicara tetapi tidak berkesempatan membalas kunjungan. Bukan kerana malas, tetapi faktor penyambungan sistem komunikasi internet seringkali mengundang rasa kecewa.

Cukup setakat ini berceloteh dalam nada berprosa. Khuatir nanti bangkit rasa meluat di kalangan pembaca. Sekian dahulu untuk kali ini. Insya-Allah bertemu semula di ruangan mendatang.


p/s : Insya-Allah, dalam perancangan ingin menganjur kontes. Sedang mengerah idea dan keringat. Mungkin sebuah kontes berkaitan "Penulisan Kreatif". Sedang memikirkan tema, habuan, serta terma dan syarat.

Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---

Comments