Teknik Saya Menulis

Assalamualaikum...

Tiada kata seindah bahasa. Walau tidak bisa lahir dari bibir namun masih mampu diluah melalui coretan walau hanya sekadar di sekeping lembaran usang. Baiklah, dipertemuan pada kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit kaedah ataupun teknik yang saya gunakan dalam menghasilkan sesuatu karya atau penulisan. Walaupun saya sedar bahawa diri ini hanya insan kerdil, namun mungkin dengan cara ini kita dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan bagi memantapkan lagi hasil penulisan di masa akan datang. Lumrah hidup manusia adalah saling bergantungan.

-----------------------------------------------------------------------------------


Teknik Saya Menulis

1. Idea Utama

Bagi saya, idea utama yang diperlukan dalam menghasilkan sesuatu penulisan ialah "tajuk" yang ingin ditampilkan. Tajuk yang sudah dipilih akan saya gunakan sebagai rujukan utama untuk saya menggali serta mengumpul setiap fakta yang bakal diutarakan. Seterusnya fakta-fakta yang sudah diperolehi akan diatur mengikut kesesuaian dan urutan. Secara tidak langsung kaedah ini memudahkan saya untuk menentukan corak atau memilih gaya penulisan yang ingin saya olah. Cara ini amat membantu saya dalam mencari ilham untuk menyusun setiap baris ayat dengan lebih teratur sera menjimatkan masa.

2. Pendahuluan

Bagi sesebuah karya atau penulisan yang saya rasa indah, pengolahan idea dari segi ayat pembukaan amat diperlukan bagi menarik minat pembaca. Saya lebih gemar memulakan pendahuluan saya dengan himpunan ayat-ayat puitis yang mengandungi rangkuman maksud tersirat di sebalik coretan yang tersurat. Namun yang demikian, tidak semua penulisan saya akan dimulai dengan cara ini. Penentuan adalah mengikut kesesuaian entri yang ingin saya olah.

Bagi sesetengah penulis, saya dapati kebanyakannya lebih gemar memuatkan atau menulis dengan gaya santai. Soal ketepatan dalam kaedah penulisan yang merangkumi aspek ejaan, tatabahasa mahupun perbendaharaan kata tidak dititikberatkan.

3. Isi penting / Fakta

Setelah memperoleh segala fakta yang diingini, saya akan mula menyusun setiap fakta-fakta tersebut mengikut kesesuaian urutannya. Seterusnya saya akan mula menulis dengan penghuraian setiap kata kunci yang ada. Pengolahan ayat yang teratur adalah penting supaya pembaca dapat mengamati serta memahami mesej yang ingin disampaikan.

4. Penutup

Kebiasaannya di bahagian akhir penulisan, saya akan menyimpulkan segala fakta yang melibatkan isi-isi penting secara ringkas dan padat. Setiap kesimpulan akan saya sertakan dengan pendapat, pandangan atau cadangan jika perlu. Kadangkala diselitkan juga dengan secebis mutiara kata ataupun segaris ayat berbentuk senda gurau yang tidak keterlaluan.

----------------------------------------------------------------------------------
Mungkin bagi sesetengah pembaca menganggap gaya penulisan yang saya tampilkan adalah "berat". Namun yang demikian, lain orang lain cara penulisannya. Segalanya bergantung kepada ilham atau idea tersendiri. Setiap individu itu mempunyai kelemahan dan kelebihan masing-masing. Begitu juga dalam penghasilan sesuatu karya yang bakal dikenang dan dijadikan panduan.

Ketelusan dalam meluahkan isi hati melalui penulisan amat indah walau terkadang pengisiannya amat melukakan. Sampai di sini dahulu untuk pertemuan kali ini. Semoga bertemu lagi di lembaran indah kata-kata yang baru.

Sekian.

Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---

Comments