Di Sebalik Ketulusan

Assalamualaikum

Bagai tercalar rasa keteguhan iman saat menatapinya.  Perintah itu harus ditepis dengan kewarasan. Tali taufik sentiasa di depan mata, namun kecekalan untuk menggapai hidayah masih belum mampir.


Penilaian Melalui Perspektif Individual.
(Dilema dalam menilai antara kata semangat atau kata nista berbaur sindiran)

Seringkali kita menilai sesuatu hanya melalui pandangan pertama dengan melihat faktor nyata yang terpampang. Sejauh mana tahap tafsiran yang diproses itu menepati kesahihan? Tafsiran yang diperoleh melalui mata kasar adakalanya tepat namun hanya pada kadar minoriti.

Hidup dalam suasana harmoni dengan mengambilkira keserasian atmosfera kemasyarakatan. Kecilkan skala kemasyarakatan kepada skala himpunan rakan taulan atau kenalan. Dari sini kita cuba menerobos dan genggam satu fenomena yang bersifat berpanjangan iaitu gejala positif yang dipanggil saling mengingati. Dari sudut berbeza cuba gambarkan gejala ini sebagai suatu penilaian formatif.

Tujuan pedekatan terhadap aspek penilaian ini adalah untuk memajukan diri dalam konteks saling berpesan-pesan dan saling memberi dorongan. Secara umumnya, kita tidak mampu untuk menilai tahap keprihatinan yang ada dalam diri kita sendiri. Oleh itu, kita seharusnya bersifat terbuka untuk menerima walau sekelumit kritikan berbisa bagi memajukan pencapaian sendiri. Walau sepeka manapun kita menganggap kebolehan diri namun masih ada cacat celanya.

Kita mungkin berasa hebat dalam kategori bongkak jika mencapai sesuatu yang tidak pernah terlintas di benak. Justeru, kelekaan mula mengerumuni persekitaran kadar peka. Pada detik inilah gunanya teman sebagai pedoman agar diri tidak terus tenggelam di alam kelekaan. Pengaplikasian tahap waras akal dibantu oleh teguran yang membina akan menjadikan diri kita lebih peka di masa akan datang.

Hidup menyusuri arus kemodenan dengan persekitaran yang terbuka bisa menjadikan pegangan dalam diri kian ampuh. Sebagai contoh, dalam kita mengejar sebuah impian ada sesetengah perkara yang kita tinggalkan atau abaikan. Mata akal hanya tertumpu pada satu jalan sahaja. Terkadang sifat korupsi terhadap diri sendiri lebih tebal dari tahap kesungguhan. Maksudnya, kita lebih cenderung untuk mencari jalan pintas tanpa mengambilkira kepentingan orang lain.

Cuba kita luaskan lagi istilah "preskripsi" yang kini kian menular dalam isu defisit ekonomi kepada preskripsi motivasi dalam diri. Senarai pendek faktor-faktor yang mampu menangani kemelut yang dihadapi dengan kaedah motivasi tidak formal. Tidak dinafikan, mungkin kita rasa lebih selesa untuk berkongsi kejayaan mahupun keperitan dengan rakan taulan berbanding ahli keluarga sendiri. Fenomena sebegini bukanlan suatu yang asing dewasa ini.

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa tahap penilaian kita terhadap kemampuan diri sendiri adalah amat terbatas. Justeru, di sinilah kepentingan sistem pergaulan dan keterbukaan kita dalam menerima pandangan orang lain diperlukan. Adakala kita jadi buntu untuk meneruskan perjalanan hidup sendiri. Kepelbagaian pilihan dalam menentukan hala tuju menjadikan diri kita terbelenggu dan tersepit. Kebijaksanaan kita dalam memilih teman adalah amat penting sebagai pemacu ke arah kejayaan.

Sekian.

p/s : Bukan semua teman dapat menerima kejayaan kita dengan hati yang terbuka dan sifat ikhlas. Ada yang lebih suka melihat diri kita tersungkur. Potret bisa dilukis dengan semanis senyuman, walau tebenam di hati si pelukis seribu satu keresahan.

Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---

Comments