Curang - tidak jujur, khianat
Kecurangan - Perbuatan curang atau sifat curang
"Selingkuh pada diri sendiri, bencana tanggung sendiri. Makar pada hati ampuh, dua hati musnah perasaan." - yusenze
Assalamualaikum...
Tajuk yang ingin diulas melalui pandangan mata hati saya pada kali ini adalah perkataan "curang". Curang adalah satu perkataan yang bersifat "adjektif". Antara kata terbitan yang popular digunakan adalah kecurangan atau mencurangi.
Saya yakin mentaliti anda sebagai pembaca pastinya akan pantas menjurus ke arah hubungan terlarang dalam sesebuah jalinan mahupun ikatan mesra. Jangan cuba menafikannya. Cuba luaskan kreasi nilai atau kreasi isu yang boleh dikaitkan dengan perkataan "negatif" ini dari satu sudut yang berbeza.
"Sayang buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang"
Maksud:- Keadaan yang serba salah dalam menghadapi kekasih atau isteri yang curang
1) Curang - Dedikasi belajar/kerja
Memang terasa janggal untuk meletakkan perkataan "curang" dalam konteks ini, namun yang demikian saya rasa perkataan ini amat sesuai digunakan jika dalam diri setiap individu itu tersemai rasa ingin bangkit dari kegagalan. Kearifan akal dalam memanipulasikan perkataan "curang" kepada "jujur" dalam perkara ini mempunyai kekuatan bagi memantapkan motivasi diri. Mungkin kita kurang sedar atau terlepas pandang di sini.
2) Curang - Ibubapa/saudara-mara/teman-teman
Kadang-kadang kecurangan ini berlaku secara terang dan nyata namun sejauh mana kita mengambil iktibar dari kecurangan ini. Ada ketika perkara kecurangan ini berlaku tanpa sedar bahkan semakin berlarutan. Mungkin ada ketelanjuran perbuatan yang bersifat curang telah kita lakukan sehingga menyinggung perasaan mereka-mereka yang disebutkan di atas.
"Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kalian menyebarkan gosip, banyak bertanya dan mensia-siakan harta"
3) Curang terhadap yang Empunya dunia
Berilmu namun tidak beramal dengannya. Lidah kelu untuk mengucapkan kesyukuran dan hati dilitupi noda-noda hitam kegelapan. Tali taufik di depan mata namun terlalu angkuh untuk menggapai hidayahnya.
Abi Bakrah radhiallahu 'anh berkata, Nabi s.a.w pernah bertanya tiga kali:
“Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”
Mereka (para sahabat) menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!”
Baginda menjelaskan: "Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan, bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu."
Renung-renungkan dan selamat beramal. Sekian.
p/s : Mentaliti - secara umumnya, luahan yang dilahirkan melalui curahan kata-kata samada dalam bentuk lisan mahupun penulisan sering disalah-ertikan. Nukilan yang lahir dari minda secara sepintas lalu (spontan) bukan bererti itu adalah keadaan sebenar yang dialami oleh penulis. Ilham mencorak susunan ayat-ayat bermadah pujangga tidak bermakna sedemikian sifat si penulisnya atau sebegitu indah atau perit gambaran perasaan yang dialami melalui curahan hasil nukilannya.
Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---
Comments
1- tak baek meniru dalam peperiksaan
2- tak baek membelakangkan ibubapa.
3- kepada-Nya kuberserah..
ini boleh berlaku hanya dengan satu perkataan.
curang pasti akan menimbulkan jurang ....jurang yg sepatutnya kita dekatkan...
kadang2 tanpa sedar.
Sesungguhnya kita ni hanya insan lemah.
huhu~