"Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu"
Assalamualaikum...
Ketika sedang asyik menikmati hirupan teh panas di sebuah kedai mamak di Tmn Tun Dr.Ismail Damansara, kelihatan susuk tubuh seorang lelaki berumur lingkungan akhir 30an keluar dari sebuah kereta mewah BMW X1 bewarna putih mutiara. Saya mengamati paras wajah lelaki itu dengan renungan tajam. Ternyata wajah itu amat saya kenali. Kami bersalaman dan berpelukan erat. Terasa berkaca juga di mata, namun masih bisa dibendung airmata ini dari menitis. Seorang rakan yang pernah akrab suatu ketika dahulu.
Saya mengenali beliau pada awal tahun 2003 semasa sama-sama bekerja di sebuah syarikat swasta yang menguruskan pemasangan sistem audio kereta di Shah Alam. Bukan itu sahaja, bahkan kami tinggal sebumbung sebelum beliau menamatkan zaman bujangnya. Pada ketika itu, perit jerih mencurah keringat untuk mengisi perut sama-sama dikongsi. Bersuka-ria bagai layang-layang putus tali. Tiada tujuan, hanya memikirkan keseronokan semata-mata. Walaupun pada hakikatnya, hasil perolehan pada ketika itu ibarat "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang."
Pada penghujung tahun 2004, beliau tekad untuk menceburi bidang muzik dan bekerja sebagai krew belakang tabir di sebuah syarikat penerbitan. Tujuannya hanyalah untuk mencari pengalaman. Sudah lama beliau menyuarakan hasrat hati untuk memiliki sebuah studio sendiri. Setelah lebih setahun beliau mengumpul modal, akhirnya niat untuk memiliki sebuah studio tercapai.
Namun yang demikian, keindahan dan kenikmatan hidup belum mahu lagi menjelma. Saat jatuh itu adalah saat paling pedih. Di pertengahan tahun 2005, perniagaan merudum bahkan beliau tidak memperoleh pulangan modal pusingan. Pada waktu itu beliau sudah berumahtangga dan memiliki seorang cahayamata lelaki. Jika merenung kembali detik itu, terasa sungguh pilu di hati melihat keadaan yang dihadapi oleh beliau sekeluarga. Sebagai seorang rakan, hanya secebis bantuan kecil mampu dihulurkan.
Walaubagaimanapun, semangat dan daya usaha beliau untuk memajukan diri tidak pernah padam. Setelah 2 tahun makan gaji di sebuah syarikat logistiks tempatan, beliau tegar dengan keputusan untuk kembali memperjuangkan hasrat hati yang kecundang di suatu ketika dahulu. Berbekalkan keazaman yang tidak mengenal erti kalah, beliau sekali lagi membina sebuah harapan.
Tanggal 24 Julai 2010 telah mempertemukan kami kembali. Umpama babak jejak kasih perlakuan kami. Alhamdulillah, kini beliau telah berjaya memiliki sebuah studio alih suara yang kian kukuh dan dikenali. Melihat senyum anak dan isteri beliau begitu menyentuh segenap ruang perasaan. Kegembiraan yang terpamer di wajah mereka turut dirasai dalam sanubari ini. Jika dikenang masa lampau, ketika melihat saat kejatuhan yang dialami oleh mereka terasa tidak sanggup menatap wajah-wajah itu. Kesetiaan anak isteri yang sama-sama menanggung derita sengsara suatu ketika dahulu ternyata membawa sejuta hikmah.
Moral yang ingin dititipkan di sini adalah, jangan kita memandang dan menilai kesenangan seseorang itu hadir dengan mudah. Pahit maung perjalanan cerita di sebalik kejayaan mereka hanya insan-insan tertentu yang lebih mengetahui. Berbekalkan keinginan hasrat dan daya usaha yang tinggi, nescaya kebahagiaan itu bakal tiba jua. Jangan sesekali menyalahkan waktu, menuduh kegagalan sebagai penghalang. Kerana, di sebalik kegagalan itu tersirat seribu nikmat.
Sekian.
p/s : Insya-Allah, awal tahun depan ingin mencuba nasib membina sebuah empayar perniagaan khusus pengangkutan. Doakan agar kecekalan mengiringi perjalanan walau aral yang tiba pejal di hadapan.
Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---
Comments
nak berniaga? macam2 cara nak cari rezeki. semoga berjaya!
air nano hidrogen
n yuse, ol da best to u..u know where to look for me..:)
ni la d katakn usaha tangga kejayaan..kalau ad minatsaje x ckp kalu usaha entah k mana...jatuh bangun tu sdh adat dlm perniagaan..yg penting usaha berterusan..
nak maju gak nie...
"tuah ayam pd tajinya, tuah manusia siapakan tahu.."
tapi mmg rase semangat kan klo jupe member2 yg berjaya...baguslaa klo leh jadi sumber inspirasi ko utk lebey berjaya..
pilot doakan yus berjaya dlm bizness yg dicebur nnti!