Walaupun Pahit Pasrah Kutelan (Disebalik Pertembungan Sepanyol - Belanda di pentas akhir)


Naluri ini berkata, biar apapun yang bakal berlaku biarlah hati pasrah dengan kesudahannya. Ramalan bisa dibuat dengan penuh rasa yakin, namun keputusannya tetap diragukan hingga tiba saat penentu.



------------------------------------------------------------------

Assalamualaikum...


Dari kacamata seorang peminat sukan bola sepak



Ternyata ramalan para pengkritik tentang kehebatan pasukan Sepanyol adalah benar. Penguasaan bola di bahagian tengah dengan corak menyerang akhirnya membuahkan hasil. Bukan kerana ketepatan ramalan "PAUL" sang sotong tetapi kerana kesungguhan himpunan pemain Sepanyol yang tidak putus-putus menduga kecekalan pertahanan pasukan Belanda.

Pertemuan pertama pasukan Sepanyol menentang Belanda di pentas akhir Piala Dunia musim 2010 penuh dengan debaran. Jutaan penyokong kedua-dua pasukan di seluruh pelusuk dunia teruja untuk melihat aksi para bintang bola sepak mempamerkan mutu persembahan mereka. Bagi tempoh 30 minit separuh masa pertama, jelas kelihatan kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati dan agak hambar. Namun begitu pada 15 minit terakhir barulah tampak aksi serang balas antara kedua-dua pasukan.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Soccer City Stadium, Johannesburg, Afrika Selatan dengan kehadiran penonton seramai 84,490 orang penuh dengan keceriaan sorakan dan warna-warni. Namun masih terganggu dengan bunyi-bunyian yang menjengkelkan. Howard Webb, pengadil dari England yang ditugaskan mengawal perlawanan menerima kritikan hebat kerana telah melayangkan 13 kad kuning dan 1 kad merah sepanjang perlawanan ini.

"Hero" yang dijulang sebagai pemain terbaik perlawanan sudah semestinya Andres Iniesta yang telah menjaringkan gol pemusnah tunggal  pada detik akhir masa tambahan. Satu-satunya gol yang memadamkan seluruh impian pasukan Belanda untuk menjulang Piala Dunia pada musim ini. Perlawanan penuh getir ini berkesudahan Sepanyol 1 - 0 Belanda. Pujian juga kepada Arjen Robben yang banyak mencipta peluang namun gagal menembusi benteng pertahanan akhir pasukan Sepanyol.

-------------------------------------------------------------------


Akur, Brazil tewas walaupun telinga terasa pedih. Cuba lagi untuk mempertingkatkan mutu di bahagian penyudah. Terlalu leka dan santai gaya persembahan pasukan Brazil hingga mengakibatkan kepincangan dan kebocoran di bahagian pertahanan.

Saya tumpang gembira dalam kesedihan bersama rakan-rakan yang tergolong dalam himpunan penyokong Sepanyol. (Gembira sebab dapat sokong Torres, sedih sebab tak dapat sokong Robinho).

p/s : Kepada En.Azizan kadir, saya sokong anda untuk menyokong pasukan Perancis 2 tahun lagi pada pertembungan Piala Eropah (EURO 2012) :) 


**Tidak sabar rasanya ingin merasai kehangatan Liga Inggeris semula... Liverpool tetap di hati.**


pss : Chaon, Mario - Aku tumpang gembira korang weh!! Takpe ke?? Hahha.. 

Dari Pena Penulis,
---YUSENZE---


Comments