Terpana saat melihat kelibat si dia yang tampak begitu ayu mengenakan sepasang kurung biru laut bercorak bunga-bungaan. Tubuh genit itu walau berkali-kali dipandang masih lagi mengiurkan. Si dia mungkin tidak perasaan akan kerlingan mata-mata di sekelilingnya atau mungkin hanya merelakan setiap pandangan itu dengan keangkuhan dan kepuraan. Raut wajahnya yang mencerminkan kesucian membuat hati sesiapa sahaja yang melihat rasa bergelodak di dada. - yusenze
Assalamualaikum..
Delusi yang indah semata-mata. Ungkapan di atas hanyalah rekaan yang lahir dari imaginasi penulis sebagai pembuka tirai bicara.
Di ruangan ini, saya ingin berkongsi pendapat peribadi akan kesinambungan yang dapat dikaitkan antara "cinta" dan "bolasepak". Sila baca sehingga penghujung entri ini sebelum membuat sebarang andaian atau melontarkan pandangan mahupun sangkalan.
Dalam sukan bolasepak profesional, keserasian, formasi dan strategi adalah merupakan aspek utama yang memainkan peranan penting dalam memacu sesebuah pasukan itu. Tujuannya ialah untuk memastikan agar pasukan menjadi mantap dan sukar dibolosi. Sudah semestinya kemenangan menjadi buruan ataupun prospek dalam setiap permainan.
Begitu juga dalam kehidupan kita seharian apabila berbicara soal cinta. Kita mencari kemenangan dalam menangani isu cinta. Siapa mahu ikatan cinta yang yang begitu indah kecundang di penghujungnya? Sudah pasti tiada sesiapa yang menginginkan kesudahan yang tragis menghantui dan berbekas di kemudian hari.
Pengurus / Jurulatih
Dalam arena sukan bolasepak, kemantapan sesebuah pasukan itu pastinya bermula dari kebijaksanaan pengurus dan jurulatih. Jika kita renung dari aspek kehidupan ini, perihal pengurusan dan kejurulatihan mempunyai hubungkait yang kuat untuk kita meneruskan perjalanan hidup ini dengan lancar. Dalam ertikata lain, kita diberikan akal yang bertindak sebagai pengurus bagi memastikan kejayaan bisa dikecap dalam pencarian dan mengekalkan nikmat cinta yang merajai dua jiwa. Pengurusan yang berkesan adalah dengan menerapkan ketenangan akal agar jangan jadi begitu ampuh menuruti kata hati dan nafsu. Pengurus yang hebat dalam percintaan ialah pengurus yang bisa memanipulasikan amarah menjadi ilham tatkala berdepan dengan situasi genting. Sistem kejurulatihan yang menekankan sifat sabar adalah amat perlu dan ternyata memberi impak positif sehingga penghujungnya.
Formasi / Strategi
Aturan atau susunan para pemain juga menjadi faktor yang perlu dititik-beratkan. Adakala rombakan drastik perlu dilakukan ketika menghadapi situasi tertentu mengikut kesesuaian. Pihak lawan atau musuh dalam permainan bolasepaksentiasa mencari peluang dan memintas ruang andai para pemain terleka akan peranan masing-masing.
Dunia percintaan amat mencabar. Pelbagai dugaan akan sentiasa menemani perjalanan cinta seseorang itu. Oleh yang demikain, kita perlu bijaksana dalam mengatur strategi agar benteng keutuhan cinta kita tidak bisa ditembusi. Sudah menjadi lumrah dalam hati setiap manusia itu ada sifat hasad dengki walau sekelumit cuma. Adakala persekitaran menjadi punca keretakan hubungan cinta. Saat kemanisan nikmat cinta mula digamit, mungkin akan muncul pihak ketiga yang bisa menjadi penceroboh dan mampu membolosi keteguhan rasa cinta. Pada detik ini, rombakan perlu dilakukan segera di bahagian perancang. Jika sebelum ini kita begitu teruja dengan corak menyerang tetapi jika keteguhan benteng cinta kita cuba dirobek seharusnya kita peka dan segera menukar corak permainan kepada bertahan. Pada tahap ini, kita memerlukan kecekalan kudrat dan mentaliti. Jangan mudah berputus asa dalam mempertahankan tugu cinta yang telah kita bina.
Peranan Para Pemain
Setiap pemain mempunyai peranan tertentu di segenap posisi. Baik di bahagian serangan mahupun di bahagian pertahanan. Bahagian serangan perlu bijaksana untuk menembusi benteng pertahanan pihak lawan dengan sepenuh daya dengan cara yang tehormat. Begitu juga dalam bercinta. Kita perlu pintar untuk menyemarakkan lagi api cinta agar tidak dipandang mudah oleh masyarakat sekeliling. Biar masyarakat melihat sifat cinta sejati kita sebagai contoh yang mempunyai nilai-nilai positif serta bisa menjadi ikutan.
Di bahagian pertahanan pula, setiap pemain perlu bekerjasama dengan penuh keserasian untuk mempertahankan gawang agar tidak bisa ditembusi. Dari aspek cinta juga perlu begitu. Jangan terlalu mengikut gerak hati dan menanamkan sikap sambilewa sahaja. Sistem pertahanan perlulah berdedikasi serta cekal menghadapi dugaan yang mendatang. Dengan ini barulah keutuhan cinta suci yang dibina akan mampu dipertahankan.
Kesimpulan
Secara peribadi, saya melihat kesinambungan yang begitu tepat antara rasa ghairah dan semangat dalam permainan bolasepak dan alam percintaan. Mungkin bagi anda yang tidak meminati sukan ini tidak dapat melihat dari dimensi yang saya ceritakan di atas. Teruja terhadap keunikan sukan bolasepak sebenarnya mengajar saya tentang erti cinta sebenar. Saya bukan berseloroh, tetapi setiap pengucapan yang saya lahirkan di sini adalah tulus ikhlas dari naluri ini. Kemenangan itu satu nikmat yang membahagiakan.
Jika anda ingin mendalami lagi tentang perkaitan antara bolasepak dan percintaan, anda boleh hayati luahan dari sahabat saya iaitu En.Azizan Kadir melalui garapannya yang berjudul "Bagaimana Wenger Mengajar Saya Bercinta". Sehingga bertemu lagi di lembaran akan datang. Sekian. Untuk mendalami tentang definisi cinta boleh baca di sini. "Definisi Cinta"
p/s : Saya begitu ghairah menanti tiupan wisel sepak mula, saya teruja menikmati setiap gerakan yang mengiurkan, dan saya pasrah dengan setiap keputusan saat wisel penamat dibunyikan.
Dari Pena Penulis,
Comments
memang saya tak faham cinta terhadap bola ni
:)
mmg btol bro..kalau kita fikir, bola ni x ubah same dgn prinsip kehidupan seharian kita..memang berkait rapat.terutama dr bab cinta..memang perlukan keserasian antara pemain2.kalu x serasi mcmne nk bat gol,begitu jgk dlm cinta..klu x serasi xkan jumpa goal..penalti x msuk..lps tu mula la nak cerai ke apa...
single lg?
waahahahaha
pergh...ayat2 di atas memang dhsyat la..dh lama ta guna 'mengghairahkan'..'mengiurkan'...
selamat..selamat bercinta
Aku tertarik dgn isu yang ko bangkitkan dulu. Mengaitkan keghairahan aktiviti riadah dengan strategi percintaan. Da lama aku nak buat ni, dari zaman Benitez. Skang da tukar Hodgson pon.. hahha..
single lagi, sbb tu la nak mintak tolong cik farieha carikkan teman sejati.. hahha.
Dalam bolasepak, kita tidak akan "passing" bola pada pihak lawan. Begitu juga dalam aspek ini, kita hanya "passing" kegembiraan atau kesedihan antara pemain dalam pasukan kita =)