Kupasan Peribadi -AFF Suzuki Cup 2010 Final First Leg


Dalam mengharungi detik-detik kegemilangan kita seharusnya peka dengan setiap frekuensi persekitaran. Tahniah kepada skuad harimau muda yang telah membuktikan kemampuan mereka pada pertembungan akhir pertama dengan membenam kelincahan permainan pasukan Indonesia dengan keputusan yang amat membanggakan.
Problema yang kebiasannya membelenggu skuad harapan kita dari dulu hingga kini adalah sikap sambil lewa setelah berkedudukan agak selesa. Fenomena  leka inilah yang menjadi kebimbangan di samping sikap yang terlalu berhati-hati. Yang pasti kini kita menghampiri detik gemilang menjulang Piala Suzuki di arena AFF.

Terbukti di sini bahawa bukan hanya faktor kecergasan fizikal sahaja yang menjadi tunjang untuk kita menjadi sebuah pasukan bolasepak yang digeruni. Bantuan dari segi mental yang diserapkan oleh tenaga kejurulatihan juga adalah amat penting sekali. Dengan mempercayai kebolehan tenaga jurulatih tempatan ternyata membawa hasil yang begitu membanggakan. Di samping itu kecekalan hati para penyokong yang membantu dari segi psikologi juga amat memberi kesan. Bukan sahaja dapat menaikkan semangat pemain bahkan dapat melunturkan kekebalan mentaliti pihak lawan. Kecekalan serta kekentalan para pemain adalah bergantung kepada faktor sokongan ataupun tekanan daripada para penyokong.

Mungkin saya agak terlewat untuk menyentuh tentang isu ini tetapi saya lebih suka meninjau pendapat umum terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kupasan tersendiri. Saya dapat melihat kebangkitan yang sudah lama kepudaran warnanya dalam arena bolasepak tempatan. Kini profesionalisme dalam sukan ini ternyata kian bersinar kembali seperti kegemilangan zaman kemuncak Mokhtar Dahari. Semangat kesukanan beginilah yang sangat kita harapkan agar terus berkesinambungan tanpa penghujungnya.

Dengan kejayaan awal ini diharap akan terus menarik minat anggota masyarakat untuk sama-sama menyokong dan bersekongkol dengan cara positif bagi memartabatkan arena sukan bolasepak di negara kita. Semoga semangat 1 Malaysia yang diwar-warkan dapat dibuktikan dengan apa cara sekalipun termasuklah dalam bidang kesukanan. Akhir kata, majulah bolasepak untuk negara. Rebah sekali bukanlah bermakna kita tewas untuk selamanya. Pasti ada punca yang telah menyebabkan ketewasan kita di masa lalu. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Sekian.

p/s : Sukan juga adalah suatu medium yang boleh digunapakai sebagai pemangkin untuk membangkitkan semangat setia kawan. Bersatu dan terus bersatu agar kita tidak akan terus dipandang begitu kerdil.

Dari Pena Penulis,
yusenze@hotmail.com

Comments

azizan4444 said…
aku tetap kibarkan bendera walaupun tgk dpn tv kat rumah ajo.hahaha..mmg terbaik la..

psl isu sekarang ni x syok sgt la kan..pape pun tgk nnti kesudahan 2nd leg.sape yg harus mengakui kelemahan masing2.haha