Keputusan Maharaja Lawak (Minggu 5) 29 April 2011

Sebelum saya terus kepada penyingkiran peserta Maharaja Lawak di minggu ke lima ini, saya ingin berceloteh serba sedikit mengenai rancangan ini. Pada episod kali ini kita dapat menyaksikan kesungguhan para peserta mempamer bakat lawak yang sebenar di pentas yang menjanjikan hilai tawa para penonton. Setelah melihat penyingkiran demi penyingkiran di setiap episod yang berlalu, dapat disimpulkan di sini bahawa penonton yang menyumbang kepada jumlah undian para peserta semakin bijak menilai persembahan yang dipertontonkan.

Pada episod ke-5 ini, lapan peserta beradu akal dalam mencetus idea yang berkonsep "Bebas" bagi menambat hati penonton. Setiap minggu yang ke hadapan ini merupakan detik yang amat penting bagi kesemua peserta untuk mempersembahkan yang terbaik demi mendapat tempat untuk beradu di pentas seterusnya. Empat peserta solo iaitu Nabil, Jihan, Man dan Amir dilihat bertungkus lumus untuk menyaingi idea-idea peserta berkumpulan iaitu Jozan, Jambu, Sepah dan Balas.

Kesemua peserta yang tinggal adalah para peserta yang berjaya mengekalkan momentum persembahan yang konsisten setiap minggu. Tentu sahaja saingannya semakin sengit dan secara tidak langsung para penonton juga semakin asyik dan terhibur dengan mutu persembahan dari setiap peserta yang tinggal. 

Walaubagaimanapun, dalam suasana yang girang dengan hilai tawa, pengacara rancangan AC Mizal berjaya juga membawa mood penuh debaran di hujung episod kali ini. Seperti biasa di akhir rancangan juri akan mengumumkan keputusan peserta yang tersingkir. Nampaknya Jihan tidak berjaya meraih jumlah undian yang secukupnya untuk terus kekal di persada Maharaja Lawak minggu ini. Jihan terpaksa akur dengan keputusan yang dilakukan berdasarkan jumlah undian penonton dan juga penilaian dari juri profesional.

Tetapi harus diingat juga bahawa, para juri profesional masih mempunyai satu kuasa mutlak yang boleh digunakan untuk mengundi masuk semula peserta yang diumumkan tersingkir sekiranya mereka fikirkan layak untuk terus berdiri dan berjuang di pentas Maharaja Lawak 2011. Teruskan menonton program Maharaja Lawak pada minggu-minggu seterusnya yang bersiaran secara langsung dan dipertontonkan di saluran 132 Astro Warna. Anda adalah penonton yang bijak, anda mampu menilai peserta yang mana merupakan paling baik antara yang terbaik.

Dari Pena Penulis,
yusenze

Comments

mael said…
yes...kluar jugk jihan ni...ape pun, die pun bleh thn gak lwknye....
dayah said…
hmm tgk kat youtube favret je maharaja lawak. bye jihan