Tips Perkara Asas SEO - Webmaster Tool

Assalamualaikum… Bertemu lagi kita buat sekian kalinya dalam lembaran maya popular yang menjadi medium penyebar maklumat di zaman ini. Bukan sekadar maklumat semasa malahan maklumat peribadi juga boleh kita baca melalui blog. Pada pendapat saya, membina blog peribadi tidak perlu pening-pening kepala memikirkan soal SEO. Yang menjadi ukuran mungkin tahap populariti individu pemilik blog berkenaan. Popular dalam konteks ramah dan mesra dalam sesuatu komuniti sosial mungkin membantu trafik bagi blog-blog yang dalam kategori peribadi. Entri makan nasi lauk ikan masin pun boleh mendapat sambutan dan mampu menarik ribuan pelawat unik setiap hari. Renungkan sejenak.

WEBMASTER TOOL

Dalam 3 entri yang lalu saya telah mengemukakan beberapa faktor asas berkaitan SEO dan blog. Sebelum kita terus kepada penggunaan skrip meta tag saya rasa lebih baik saya tampilkan tentang penggunaan webmaster tool terlebih dahulu. Saya akan cuba rungkaikan serba sedikit maklumat tentang webmaster tool yang utama dalam rangkaian internet.


Berada di muka surat pertama di halaman carian enjin internet merupakan tujuan utama sesiapa sahaja yang mempelajari teknik SEO sebegini. Pada episod yang lalu saya telah huraikan secara ringkas tentang "trafik organik". Untuk mencapainya sesiapa sahaja perlu bertindak dengan tatacara atau kaedah tertentu yang mungkin boleh membantu. Saya tidak mampu menghuraikan secara terperinci tentang webmaster tool ini tetapi saya cuba memberi beberapa petunjuk akan kegunaannya.

Penggunaan webmaster tool adalah bertujuan untuk membantu mana-mana enjin carian untuk mengenalpasti pautan-pautan yang terkandung dalam blog atau laman web. Di samping itu penggunaan webmaster tool akan dapat membantu kita menganalisa setiap perincian data melalui penataan analistik yang serba lengkap. Melalui laporan yang dibekalkan oleh webmaster tool ini juga kita akan dapat mempelajari dan memahami bagaimana saringan pautan sesebuah blog itu diindeks berdasarkan plot-plot tertentu. Kita dapat melihat dengan lebih jelas tentang pola trafik, keyword, url yang telah diindeks, pautan masuk (inbound link), pautan keluar (outbound link) dan lain-lain lagi.

Sebagaimana fungsi "pinging" (pinging concept) yang anda semua sedia maklum, penggunaan webmaster tool ini juga memberikan faedah yang sama tetapi lebih terperinci. Untuk pengetahuan anda, tidak semua entri yang kita terbitkan itu akan dimasukkan ke dalam direktori enjin carian internet kerana beberapa faktor. Oleh itu kita perlu mencuba untuk memberitahu sesebuah enjin carian agar mengindeks pautan yang terkandung di dalam blog secara manual. Caranya adalah dengan mendaftarkan pautan blog kita ke dalam direktori enjin carian internet secara terus.

Sitemap dan teks robot

Sitemap adalah rangkaian pautan-pautan yang tersenarai di dalam sistem sesebuah blog mahupun laman web. Kelebihan penggunaan sitemap adalah kepada mereka yang menggunakan nama domain dan hosting persendirian kerana mereka boleh mengakses sendiri ke root utama pelayan web. Namun begitu, bagi pengguna blogspot anda boleh menggantikan pautan sitemap ini dengan pautan RSS (Rich Site Summary @ Really Simple Syndication) yang memang sedia ada. RSS adalah suatu fungsi kutipan ringkas bagi setiap entri yang diterbitkan. Jika anda peka akan perkara ini, sebenarnya bahan yang kita terbitkan itu tidak akan diindeks sepenuhnya oleh mana-mana direktori enjin carian internet.

Teks robot berfungsi untuk mengawal pautan url tertentu sama ada perlu atau tidak dimasukkan kedalam direktori enjin carian. Di samping itu juga teks robot boleh digunakan sebagai arahan untuk membenarkan atau menghalang robot daripada mengakses pautan dan kandungan entri tertentu.

Mengapa Perlu Nama Domain Sendiri

Memiliki nama domain sendiri adalah satu kelebihan kepada pengguna webmaster tool. Kelebihannya adalah pada webmaster bing. Sekiranya anda hanya sekadar menggunakan perantara blogspot tanpa nama domain unik, anda tidak dibenarkan menghantar pautan khusus secara terus ke dalam enjin carian mereka. Jika anda memiliki domain dan hosting, anda akan dibenarkan untuk menyertakan pautan sitemap secara manual serta memasukkan pautan-pautan tertentu secara terus ke dalam direktori enjin carian.

Untuk lebih jelas tentang penggunaan webmaster tool, anda boleh merujuk kepada yang lebih arif atau mencari maklumat tentang penggunaanya di internet. Saya hanya mampu memberitahu anda serba sedikit tentang kelebihan webmaster tool kerana terlalu besar dan banyak untuk dihuraikan secara terperinci. Semoga dengan tips kali ini dapat memberi anda petunjuk dalam usaha menjadikan blog anda lebih mesra SEO.

Selamat mencuba dan selamat maju jaya. Sekian.

Dari pena penulis,
yusenze

Comments

Hi Yusenze.
Mungkin boleh tambah, masalah untuk blogspot, sitemap yang dihantar cuma 26 yang terbaru sahaja akan dikira.
yusenze said…
Hmm.. lupa pulak bahagian tu..
walaupun cuma 26 url sahaja yg diindex, tetapi tetap akan masuk ke dalam direktori setiap kali rss tentang sesuatu entri itu dibekalkan dengan cara menghantar semula rss feed.
Kacak Itu Saya said…
26 je? aku kena cari orang yang bleh sponsor domain la kalo macam nie..