Isu Bir / Arak Halal melanda Malaysia | Isra' Mikraj Sebagai Panduan

Asalamualaikum… Alhamdulillah kerana nikmat untuk terus bernafas yang dikurniakan Allah telah memberi ruang untuk kita sama-sama melangkah dan mencurah idea di ruang blog yang semestinya untuk tontonan dan pengajaran bersama. Pejam celik, pejam celik kini kita sudah berada dalam bulan Rejab yang penuh dengan pelbagai peristiwa bersejarah dalam himpunan kisah prolifik dakwah Islamiah yang dialami oleh junjungan besar Baginda Rasulullah S.A.W. Saya pasti anda juga peka akan hari yang di gelar Isra' wal Mikraj yang diharungi oleh Rasulullah pada tanggal 27 Rejab dan kesinambungan kisah ini terus menerus diwarisi sebagai pedoman untuk umat di akhir zaman merenung dan menginsafi akan kebesaran yang Maha Esa.


اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan

[Hadis riwayat Ahmad dan at Tabrani, daripada Anas]

Diceritakan oleh para ulamak bahawa peristiwa bersejarah ini adalah sebagai tanda keagungan Allah memperlihatkan kepada Baginda Rasullulah akan perjalanan hidup yang sebenar. Tujuannya adalah untuk mengingatkan Baginda dan juga seluruh umatnya bahawa hidup ini bukan sekadar terhenti di dunia fana bahkan perlu melalui beberapa fasa seperti alam barzakh, alam mahsyar, dan alam akhirat. Wallahualam. Justeru itu Allah S.W.T telah memberikan kelebihan kepada Baginda untuk melihat sendiri bagaimanakah keadaannya umat-umat terdahulu yang menjalani setiap fasa tertentu agar baginda lebih cekal meneruskan panji dakwah Islam dengan ketakwaan yang sebenar.

Isra'

Sebelum melalui peristiwa Isra' dan Mikraj, Baginda terlebih dahulu dibedah dada dan dicuci hatinya dengan air zam zam serta dibuang ketulan hitam ('alaqah) oleh malaikat Jibrail dan juga Mika'il. Seterusnya dituangkan keimanan dan ilmu pengetahuan ke dalam dada Baginda sebelum dijahit dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah'.

Sesudah itu Rasullulah dengan binatang tunggangan yang dinamakan Buraq melalui perjalanan  dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa. Sepanjang perjalanan itu Rasulullah ditemani oleh malaikat Jibril dan Israfil. Apabila melalui tempat-tempat tertentu Baginda diarahkan oleh Jibrail untuk melakukan solat 2 rakaat. Antara tempat-tempat itu adalah :

1. Madinah - tempat Baginda bakal melakukan hijrah
2. Bukit Tursina - tempat Nabi Musa A.S menerima wahyu dari Allah
3. Baitul-Laham - Tempat Nabi Isa dilahirkan.

Setibanya di Masjidil-Aqsa baginda telah mengimami solat 2 rakaat di mana para makmumnya terdiri dari golongan anbia' dan mursalin. Baginda terasa dahaga lalu disediakan 2 bekas minuman yang satu berisi arak dan satu lagi berisi susu. Nabi Muhammad S.A.W telah memilih bekas berisi susu lalu diminumnya. Lantas Jibrail menyatakan bahawa Baginda telah melakukan pilihan yang bijak kerana jika dia memilih arak nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat. Wallahualam. 

Mikraj

Mikraj adalah suatu peristiwa keajaiban di mana Baginda akan dibawa naik ke Hadhratul-Qudus untuk bertemu Allah melalui tangga(mikraj) yang diturunkan dari syurga. Baginda diiringi oleh Jibrail melalui pintu langit dunia (pintu Hafzhah). Di langit pertama baginda telah bertemu dengan Nabi Adam A.S serta melihat kelibat manusia yang makan harta dari hasil riba' dan harta anak yatim berkeadaan sangat huduh dan buruk. Baginda juga telah melihat akan manusia yang melakukan zina dengan rupa dan keadaan yang amat teruk.

Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau bakal bertemu dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat akhir dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wala Quwwata Illa Billah”. Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Air sungai yang tidak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi dan tergambar oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik sebagai penjaganya..

Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

********************************************
Allah S.W.T : Ya Muhammad. 

Rasulullah : Labbaika. 

Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. 

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. 

Allah S.W.T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
********************************************

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Firman Allah S.W.T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam.

SUMBER: Jalan Akhirat

Dari pena penulis,
yusenze

Comments