Cendawan Blog


Assalamualaikum… Edisi blogger dan blog menjadi kategori pilihan untuk dikemaskini. Topik yang menjadi taruhan kali ini adalah pertumbuhan cendawan blog. Ada yang bakal terasa dan ada yang hanya tersenyum simpul. Fenomena pertambahan blog-blog yang lahir memenuhi persada maya bukanlah suatu perkara yang luar biasa. Kepelbagaian genre penulisan diterbitkan kepada umum dengan gaya yang tersendiri. Terbukti bahawa kuasa blog itu sendiri mempunyai pengaruh yang besar ketika rombakan zaman sedang meningkat maju.

Penyebaran maklumat melalui medium blog nampaknya lebih menarik perhatian umum dewasa ini. Maklumat yang disalurkan mengikut fakta sahih diolah dengan penataan dan kreativiti penulisan telah berjaya memikat hati pembaca yang dahagakan berita semasa. Bukan sekadar isu semasa bahkan maklumat tentang perfileman, muzik, tutorial dan sebagainya berjaya menjadi bahan penulisan blog yang berfaedah. Idea yang dikongsi bukan sekadar bersifat peribadi malahan bermanfaat kepada seluruh pembaca yang singgah.

Pertumbuhan blog di Malaysia juga telah memberi ilham untuk mewujudkan komuniti sosial di kalangan blogger. Namun begitu di sebalik kewujudan komuniti-komuniti sosial ini terselit juga kesan negatif di antara kesan-kesan positifnya. Sebagai contoh adalah percanggahan ideologi sehingga menimbulkan konflik di kalangan blogger. Walaupun tidak ketara tetapi perihal ini sedikit sebanyak menampakkan kecacatan yang tidak diingini. Saya tidak mahu mengulas tentang perkara ini dengan lebih mendalam kerana bimbang bakal mencetuskan kontroversi.

Keprihatinan para blogger perlu tinggi dalam menyalurkan sebarang maklumat. Bukan hanya mementingkan trafik semata-mata tetapi perlu menjaga tatasusila dalam penulisan. Kebanyakan blogger yang bergelar otai lebih mementingkan kata kunci dalam setiap bahan terbitan, dan perkara ini dapat dilihat dengan jelas. Tidak dinafikan bahawa medium blog ini mampu menjana pendapatan yang lumayan. Kebanyakan dari mereka seakan tidak punya masa untuk diluangkan bersama ahli komuniti. Dalam ertikata lain, penyertaan dalam komuniti sosial tertentu hanya atas dasar nama dan tidak memberi sebarang sumbangan yang membantu para blogger yang baru dalam dunia blog. Itulah lumrahnya. Dan hakikatnya walaupun dirasai agak pahit sedikit tetapi tetap melukakan.

Renung-renungkan. Anda adalah pembaca yang bijak, anda mampu menilainya.

Sekian.

p/s : Menulis di blog bukan kerana nama dan populariti semata-mata.

Comments

APi said…
tulis nok pitih gone pulok?