Edisi Karutan - Isu Kerja dan Rasuah Emosi


Assalamualaikum… Edisi karutan sudah datang. Idea yang karut tapi benar ini menjelma tatkala rembulan mengambang penuh di balik awan komulunimbus. Lama terbiar blog cerekarama ini. Penulis merajuk! Aktiviti petang-petang, bersenggama dengan si bourgainvilla. Bukan omong kosong tapi seronok main dengan baja dan tanah. Hahha..

Isu karutan kali ini berkisar tentang perkara yang menjadi rutin seharian. Setiap benda yang dilaksanakan dengan daya fizikal itu boleh dikategorikan sebagai suatu pekerjaan. Realiti yang harus dihadapi oleh segenap insan yang bergelar manusia. Walau berstatus surirumah sekalipun setiap aktiviti yang dilakukan merangkumi setiap pergerakan seperti mengemas, memasak, berkebun dan sebagainya tetap dianggap sebagai pekerjaan. Yang membezakan kerja surirumah dengan pekerjaan sebenar @ kerjaya dinilai dari sudut formaliti dan sebaliknya. And of course benda yang tak pernah cukup iaitu "gaji". hahha..


Konsep sesuatu pekerjaan itu dianggap berjaya apabila hasilnya dapat dinikmati dengan segaris senyuman kepuasan. Namun begitu untuk mencapai sesebuah kejayaan itu kita bakal diuji dengan kesan sampingan yang tidak dapat dielak iaitu tekanan. Dari perspektif yang positif tekanan yang melanda itu boleh dimanipulasikan sebagai dorongan yang amat membantu. Setiap orang mengalami tekanan cuma yang membezakan adalah bentuk tekanan yang dialami.

Persekitaran - Tekanan yang terdorong oleh sebuah pandangan melalui mata kasar seterusnya menerjah ke jendela hati dan mempengaruhi kotak akal. Faktor tekanan persekitaran bukan hanya tertumpu kepada aspek struktur alam sekitar malahan berhubung kait juga dengan elemen hubungan sesama manusia. Ada waktu kita terganggu dengan kerenah rakan sekerja yang bergurau senda sehingga menyebabkan kita hilang fokus terhadap tugasan yang dipertanggungjawabkan. Ditambah lagi dengan tekanan daripada pihak atasan yang acapkali bertanyakan progres tugasan yang diberi. Adeh!

Mudah untuk merancang sesuatu perkara itu tetapi terlalu sukar untuk melaksanakan setiap agenda yang direncanakan. Kita cuba untuk keluar dari kepompong huru-hara namun sekian kalinya kita gagal untuk menenangkan diri sendiri. Perkara ini berlaku apabila ada sesuatu perkara yang tidak tersenarai dalam diari muncul secara tiba-tiba bahkan berlanjutan umpama "sudah jatuh ditimpa tangga". Perihal kecemasan sememangnya bukanlah suatu perkara yang dirancang. Datangnya tidak mengenal tempat dan waktu. Apabila tibanya ia kita akan tersedak malahan terus terdesak sehingga sanggup berfikiran kolot dan dungu. Apakah?

Rasuah fesyen dulu, kini dan selamanya - Jalan pintas yang menjadi penyakit berlarutan masih lagi berkisar tentang isu sogokan. Sogokan juga boleh digambarkan dengan aktiviti lakonan dengan pembawaan watak "yes! Boss". Bahasa paling ringkas "kaki bodek" a.k.a pengampu. Ini rasuah yang melibatkan soal emosi terancam yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Tidak wujud manusia pengampu yang ikhlas dalam setiap pemberian dan kerahan tenaga yang dipamerkan. Mujurlah tiada akta yang boleh membicarakan jenayah berat sebegini. Kalau tidak semakin beratlah beban tugas yang bakal dipikul oleh penjawat SPRM. Hahha..

Manusia yang hidupnya normal tidak gundah menghadapi tekanan; (cakap memang senang) Secara psikologinya tekanan itu cuma bayangan sebuah cabaran yang mampu memberi kekuatan atau mungkin boleh mencungkil rasa cuak. Defensif dalam diri setiap individu itu sama taraf secara dasarnya. Tetapi praktikal yang dilalui mewujudkan pro dan kontra dalam perwatakan. Bagai tenaga dengan stamina. Tidak semua orang yang kuat tenaganya akan mempunyai stamina tetapi orang yang kuat staminanya pasti mempunyai tenaga yang selayaknya. Err.. Apa ni? belit-belit.. Fikirkan.

Yang penting kita harus sedar dan peka untuk mencari preskripsi dalam menangani tekanan yang dialami. Mungkin ramuan dari rumus yang kita selidik itu berlainan dengan pandangan orang lain tetapi keberkesanannya tetap memberi petunjuk ke arah jalan penyelesaian yang tidak memudharatkan. Dalam ertikata lain, jangan Si Ali mencuba khasiat Kacip Fatimah manakala Si Fatimah bereksperimentasi dengan khasiat Tongkat Ali. Hahha.. Sekian.

p/s : The reason why worry kills more people than work is that more people worry than work. Renungkan...

Comments

mario said…
wekap!wekap!