Vyrec.my Virtual Youth Resource Center

Assalamualaikum… Sebuah portal belia Vyrec.my telah diwujudkan bertujuan sebagai tempat rujukan bagi golongan belia dalam mencari halatuju sebenar sebagai penerus generasi.  Virtual Youth Resource Center di sokong oleh tiga struktur utama iaitu Kementerian Belia dan Sukan, IPPBM dan ITYM. Cetusan idea ini datang daripada saudara Khaireel Azlee  yang juga selaku Presiden ITYM. ITYM merupakan sebuah pertubuhan khusus buat para belia dalam bidang informasi maklumat yang sememangnya menjadi trend dalam era teknologi masa kini.

Pembinaan laman Vyrec ini adalah hasil selidikan dari makmal Generasi Y inisiatif Kementerian Belia dan Sukan. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa kuasa internet dewasa ini menjadi pegangan dan memberi pengaruh utama kepada golongan belia. Ruangan maya merupakan tempat hubungan sosial dan juga sumber maklumat tanpa batasan yang sememangnya tidak boleh disekat tetapi masih lagi mampu dikawal penggunaannya.

Misi utama Vyrec adalah untuk memberi ruang kepada golongan belia bersuara dan melontarkan sebarang pandangan melalui saluran yang betul. Di samping itu juga melalui portal ini para belia boleh mencari pelbagai maklumat yang merangkumi isu semasa yang berlaku di sekitar tanah air dan juga pelbagai aktiviti luar melibatkan para belia. Melalui program SENYAP yang berlangsung di PWTC pada 18 September 2011, sekumpulan blogger telah dijemput untuk mengisi ruang perhimpunan sebagai langkah pertama dalam menjayakan misi ini.

Mengapa blogger? Jika dilihat kepada trend dalam enjin carian internet, pelbagai jenis maklumat semasa yang menerajui laman utama adalah hasil daripada artikel yang diterbitkan di blog. Blog menjadi kuasa utama dalam menyebarkan sebarang maklumat terkini kepada seluruh pengguna internet. Oleh yang demikian, Vyrec mengambil langkah pertama dengan mendekati para penulis blog dalam merencana serta melaksanakan suatu misi yang besar. Dalam usaha untuk merealisasikan misi ini, para blogger dihimpunkan dalam satu majlis untuk berkongsi idea dan saranan untuk membangunkan laman Vyrec.my ini agar ia boleh menjadi titik rujukan khusus buat para belia dalam pelbagai generasi.

Di samping itu juga, selaras dengan nama program, Social Enforcement for National Youth Awareness Program (SENYAP), perkara yang ditekankan adalah supaya para blogger terus menyalurkan maklumat melalui terbitan artikel di blog tetapi perlu mengikut etika tertentu. Antaranya adalah, penulisan berdasarkan fakta sahih serta tidak mengundang sebarang impak negatif seperti diskriminasi dan kontroversi semata-mata. Dalam program ini juga para blogger dinasihatkan agar menjadi seorang penulis blog yang beretika dengan gaya tersendiri.

Sampai di sini sahaja serba sedikit ulasan yang mampu saya beritakan tentang kewujudan laman Vyrec.my. Untuk sebarang maklumat lanjut dan juga cadangan anda bolehlah melayari sendiri portal ini dan berhubung secara terus dengan pihak yang membangunkannya. Saya sebagai seorang belia dan penulis blog sekadar menyampaikan informasi ini berdasarkan penilaian melalui kacamata saya sendiri. Anda sebagai belia negara yang bijak, saya pasti anda mampu menilainya berdasarkan perspektif anda sendiri. Sekian.

ITYM - Information Technology Youth Movement
IPPBM - Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia

Dari pena penulis,
Yusenze

p/s : Good is not good enough where better is expected.

Comments

sazali yusof said…
nice.. terbaik.. hidup SENYAP!! :)
Shah said…
N3 Terbaik bro...1 belia 1 blog :)
Mia Liana said…
wahhhh siap dah review...
Chaon Cornerz said…
harap2 bertahan lama la.. =)