Insan yang hatinya terpaut dengan masjid


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam dilimpahkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dan keluarga, para sahabat dan seluruh orang yang memperjuangkan syariatnya sampai hari kiamat.

Daripada Saiyidina Hassan r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Barangsiapa yang menjaga dan mendirikan solat fardhu 5 waktu itu seumpama orang yang mandi di dalam sungai yang deras 5 kali sehari. Maka segala kekotoran yang melekat pada dirinya akan terhapus. Gugurlah setiap dosa-dosa kecilnya setiap kali ia rukuk dan sujud. Kecuali dosa besar yang memerlukan taubat kepada Allah SWT." - Kitab Munyati Musolli (M/s 5)

Pada pertemuan kali ini saya ingin mengajak diri saya dan juga para pembaca supaya menanam rasa tanggungjawab terhadap solat dan mencintai rumah Allah. Mungkin kita terleka dengan urusan dunia tetapi segeralah sedar dan memohon keampunan kepada Allah SWT dan pohonlah ketetapan hati untuk terus istiqamah di atas jalan yang diredhai. Kerana yang sememangnya pasti, semakin hari kita semakin menghampiri ketetapan ajal.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda "Tujuh golongan yang Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya :

1. Imam yang adil
2. Pemuda yang membesar dengan beribadat kepada Allah
3. Insan yang hatinya terpaut dengan masjid
4. Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah
5. Insan yang digoda oleh wanita berpangkat dan cantik lalu ia berkata, "Sesungguhnya aku takut Allah."
6. Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya.
7. Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu berlinangan airmatanya.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Adakah kita tergolong dalam salah satu yang disebutkan oleh Nabi SAW di atas? Selidik iman dengan merenung kekuatan mental dan fizikal agar kita tidak berterusan hanyut di lautan nikmat dunia.

Dalam coretan kali ini saya ingin memetik tentang golongan ketiga yang di sebut dalam sabda Nabi SAW, "Insan yang hatinya terpaut dengan masjid". Dalam suasana kehidupan masa kini, tidak dinafikan bahawa kesibukan kita dalam memenuhi keperluan hidup seharian seringkali membataskan kita untuk meluangkan secebis waktu untuk hadir memenuhkan saf di masjid-masjid atau surau-surau. Lebih menyedihkan bilamana jarak antara tempat tinggal kita dengan rumah Allah hanya beberapa langkah sahaja. Tetapi oleh kerana kesibukan kita hanya berlalu melintasi rumah Allah dan terus menunaikan tuntutan urusan duniawi. Sungguh kurang ajar kita terhadap Tuhan yang telah menciptakan kita serta memberi nikmat yang tidak terhitung.

Antara kelebihan orang yang hatinya terpaut dengan masjid adalah, silaturrahim sesama jiran-jiran muslim setempat akan bertambah baik. Selain itu, faktor persekitaran yang khusus untuk menghadap Allah SWT dapat memberikan ketenangan jiwa serta membantu untuk kita khusyuk dalam melakukan ibadat. Dewasa ini, kebanyakan masjid-masjid mahupun surau sedang bergiat aktif dengan pelbagai program ilmu terutama sekali di sekitar Lembah Klang. Seharusnya kita mengambil kesempatan untuk bersama-sama mengimarahkan dan menadah rahmat Tuhan yang mencurah-curah di taman syurga. Tapi sayang, kebanyakan daripada kita lebih mementingkan urusan dunia semata-mata.

Hadirkanlah diri ke rumah Allah dengan tujuan untuk menghadapNya dengan sepenuh hati. Jika kita mampu hadir lebih awal, gunakanlah ruang waktu yang sengkang untuk melakukan ibadat seperti membaca kalam suci Allah di dalam al-Quran atau memperbanyakkan solat sunat, serta melakukan solat sunat taubat agar diampunkan segala dosa yang telah kita lakukan terhadapNya baik yang nyata mahupun yang tersembunyi.

Akhir kata, marilah kita sama-sama mendidik jiwa kita untuk terus memperbaiki setiap amalan kita agar diangkat oleh Allah SWT sebagai bekalan kita di alam akhirat yang benar. Pujuklah hati kita untuk hadir ke rumah Allah sebagai tanda mensyukuri nikmat kelapangan waktu, kesihatan dan kesenangan yang telah dianugerahkanNya kepada kita. Jangan terlalu sombong untuk berterima kasih dan memohon keredhaan Allah. Semoga kita sama-sama mendapat naungan daripada Allah ketika waktu tiada sebarang naungan selain daripada naunganNya.

Ilmu yang luas itu milik mutlak Allah SWT, kesilapan adalah daripada kekurangan diri saya sendiri. Jumpa lagi di lembaran ilmu seterusnya, Insya-Allah.

"Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan - al-Syura (42:25)

Comments