Jangan Dilalaikan Harta dan Anak Pinak


Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabbil'alamin. Allahummassoli'ala Muhammad, wa'ala ali Muhammad.

Assalamualaikum.

"Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu); dan di sisi Allahlah pahala yang besar." - al-Taghabun (64:15)

Dengan kesyukuran yang tidak terhingga atas keupayaan dan kesempatan ruang waktu serta pinjaman nafas ini sekali lagi kita bertemu di medan maya tanpa batasan ini. Pada pertemuan kali ini saya ingin berkongsi luahan ilmu yang amat sedikit sebagai medium muhasabah diri saya sendiri dan juga para pembaca yang sudi meluangkan masa membaca artikel ini.

Berbalik kepada topik asal, bagaimana harta dan anak pinak itu boleh melalaikan manusia di dalam meneruskan kehidupan seharian. Semestinya menjalani kehidupan di arus kemodenan serta penuh permintaan ini majoriti umat manusia lebih banyak menumpukan perhatian mengejar nikmat dunia. Hanya segelintir daripada kalangan manusia itu yang menimbangtara kepentingan duniawi dan ukhrawi. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qiyamah ayat 20-21.

"[20] Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya

[21] Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya)."

Begitulah hakikatnya apa yang tersemat di hati manusia, terlalu mencintai dunia yang bersifat sementara sehingga melupai kepentingan bekalan untuk menuju alam akhirat yang sangat pasti semakin menghampiri dan kekal abadi. Kerana pesona harta manusia semakin jauh daripada kehidupan yang berteraskan panduan al-Quran dan Sunnah. Manusia terus dilalaikan dengan bayangan indah dunia yang diperlihatkan oleh dorongan nafsu dan bisikan syaitan sehingga terlupa tugas dan kewajipan yang diamanahkan oleh Tuhan Yang Maha Esa.

Begitu juga perihalnya dengan anak pinak. Kerana terlalu leka memenuhi hak dan keperluan anak pinak, ada dikalangan manusia yang mengabaikan hak terhadap Allah SWT. Kita boleh melihat contoh tentang kebenaran perkara ini dalam keluarga kita sendiri. Tidak perlu mencari penilaian yang lebih luas. Kerana kepentingan keluarga kadangkala kita terus melupakan kepentingan pengabdian diri kepada Tuhan yang menciptakan kita. Sesungguhnya Allah itu Tuhan yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu, hanya kepada Dialah tempat manusia bergantung harap sebagaimana yang dinyatakan dalam kalam suci. (Surah al-Fatihah ayat 4, Surah al-Ikhlas ayat 2)

Oleh itu, saya memperingatkan seluruh orang-orang yang beriman dan kepada diri saya sendiri khususnya agar tidak terus dilalaikan dengan keindahan dunia sementara ini. Sesungguhnya hidup di dunia ini adalah jambatan menuju ke alam akhirat yang abadi. Janganlah kita semua leka mengejar nikmat sementara ini dan berterusan menuruti kehendak hawa nafsu dan hanyut bersama bisikan syaitan yang telah bersumpah akan terus menyesatkan umat manusia sehingga hari kiamat.

Akhir kata, setiap ilmu yang bermanfaat dan baik itu adalah daripada kebijaksanaan Allah SWT, dan setiap kesilapan itu adalah dari kekurangan diri saya sendiri.

Drpd Ibn Abbas r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda :

"Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi (kecewa) dalam menerima keduanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang"

Riwayat Bukhari (6412), Imam Ahmad (Musnad 1/344), al-Tirmizi (al-zuhud 2304) Ibn Majah (al-zuhd 4170), al-Baihaqi (al-sunan 3/370)


Comments