Makna Sebenar Jihad Fi Sabilillah

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam dilimpahkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dan keluarga, para sahabat dan seluruh orang yang memperjuangkan syariatnya sampai hari kiamat.

Setelah sekian lama menyepi diri, dengan penuh kesyukuran yang tidak terhingga, atas berkat taufik dan hidayah-Nya saya mampu menggerakkan jemari ini untuk berkongsi ilmu yang amat sedikit di ruangan maya ini. Melalui pembacaan dan serba sedikit tunjuk ajar daripada beberapa orang guru, di kesempatan ini saya ingin menukilkan tentang perihal "Mujahid" dan "Jihad Fii Sabilillah" melalui konteks penterjemahan yang sebenar menurut landasan Islam. Semoga kita sama-sama dapat bermuhasabah dan memperbaiki kesilapan diri zahir dan batin.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda ; "Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak pernah berperang dan tidak pernah berkata pada dirinya untuk berperang (yakni berniat untuk berperang mempertahankan Islam), maka matinya itu satu cabang dari mati munafiq." - HR Imam Muslim

Pengertian istilah "Mujahid" seringkali disempitkan dengan makna pejuang yang bertempur di medan peperangan. Hakikatnya "Mujahid" itu membawa makna yang luas.

1. Orang yang berusaha meninggikan "Kalimah Allah" (menentang penzalim, pelaku bida'ah dan kemungkaran)
2. Orang yang berusaha melawan hawa nafsu
3. Orang yang melawan desakan, bisikan dan hasutan syaitan
4. Orang yang memerangi orang kafir dan munafiq

Suatu ketika apabila Rasulullah SAW ditanya oleh para sahabat tentang erti dan maksud sebenar "jihad fi sabilillah", Baginda SAW dengan tegas menjelaskan; _"Orang yang berjuang sebenar ialah mereka yang berjuang agar "KALIMAH ALLAH" menjadi tinggi."_ (HR Bukhari dan Muslim)

Apakah yang dimaksudkan dengan "Kalimah Allah"? "Kalimah Allah" membawa pengertian tentang hukum-hakam Allah dalam seluruh aspek kehidupan manusia merangkumi peraturan hidup individu, keluarga, masyarakat, urusan negara dan seluruh alam.

Hukum-hakam Allah meliputi perkara :
1. Wajib dan sunat - perintah dan suruhan yang perlu ditegak dan diamalkan
2. Haram dan Makruh - Perintah larangan yang mesti dijauhi dan ditinggalkan
3. Harus - perkara yang terserah pada pertimbangan manusia

 "Menjadi tinggi" pula membawa maksud diagungkan dan diutamakan dalam semua perkara agar syiar dan kebenaran Islam terus syumul serta dipandang mulia dan dihormati sepanjang masa.

Setiap orang Islam yang beriman itu adalah para pejuang (Mujahidin) di sisi Allah selagi mereka terus hidup berteraskan "Kalimah Allah". Semestinya perjuangan terbesar dalam kehidupan orang awam seperti kita ini adalah jihad menentang kemahuan hawa nafsu. Nafsu adalah musuh paling utama yang boleh menjerumuskan manusia berterusan melanggar seluruh hukum-hakam Allah SWT. Kerana nafsu, kita seringkali dilalaikan dengan keindahan dunia persinggahan ini. Syaitan yang bersifat "muzaiyinan" semakin hebat membisik serta memberi gambaran indah tentang kenikmatan dunia.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil langkah jihad untuk memerangi kehendak nafsu dengan menitikberatkan soal solat dan aurat sebagai titik permulaan. Solat itu adalah penghadang daripada perkara fahsyar dan mungkar, manakala kepentingan menjaga aurat mampu mendisiplinkan diri kita untuk mentaati perintah tegas Allah SWT serta menutup pintu syahwat. Kedua-dua elemen ini sangat penting dalam etika kehidupan manusia sehingga Allah SWT menukilkan perintahNya melalui kalam suci di dalam al-Quran. Marilah bermuhasabah dengan merenung firman Allah SWT :

"Antara orang-orang yang beriman itu ada orang-orang yang bersikap benar, menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada Allah (untuk berjuang membela Islam), maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu mati syahid), dan antaranya menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu (sedikit pun)" - al-Ahzab (33:23)

Setiap yang baik itu adalah kesempurnaan milik Allah semata-mata, dan setiap kesilapan itu datang daripada kekurangan diri saya sendiri.

Rujukan : Peribadi Nabi Anugerah Suci (Sheikh Abu Muhammad Tolha Al-Khairi), Perperangan Rasulullah SAW (Riduan Mohamad Nor), Himpunan Hadis Modal Insan (Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri), Ust. Muhaiyat Bin Hj Husin

Comments