Penyesalan Itu Adalah Taubat

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam dilimpahkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dan keluarga, para sahabat dan seluruh orang yang memperjuangkan syariatnya sampai hari kiamat.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan nabi dan orang-orang yang beriman bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: 'Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." - al-Tahrim (66:8)


Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah… Syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT yang masih memberi kesempatan kepada saya untuk menyemai benih-benih amalan sebagai bekalan menuju alam akhirat yang dijanjikan kebenarannya. Melalui perantaraan risalah siber ini saya ingin menukilkan serba sedikit tentang hakikat taubat dan keutamaannya sebagai muhasabah diri saya sendiri seterusnya buat renungan para pembaca seluruhnya. 

"Penyesalan itu adalah taubat" - HR Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim

Kata taubat itu berdiri atas tiga dasar:

1. Ilmu - mengetahui tentang perbuatan yang berdosa
2. Keadaan - menyedari perkara yang telah dilakukan itu berdosa
3. Perbuatan - menyesali perbuatan dosa itu dan berazam untuk menjauhi dan tidak akan mengulangi

Kewajipan melakukan taubat itu dirakamkan dengan jelas melalui kalam suci Allah SWT di dalam al-Quran, dan hadis-hadis Rasulullah SAW. Sesungguhnya pintu taubat kepada Allah SWT itu sentiasa terbuka namun tidak semua insan diberi kesempatan dan ruang malahan Allah SWT tidak melimpahkan cahaya hidayahNya kepada setiap insan itu seluruhnya. Setiap insan sewajarnya mengharap agar cahaya keimanan dapat menembusi hati dan semoga Allah membuka dada untuk kita memanfaatkan cahaya keimanan itu sebaik mungkin. Tidak ada perkara yang lebih membahagiakan selain daripada kita dapat menghadap Allah SWT dengan hati yang tenang dan sejahtera.

"Sesungguhnya Kebanyakan Jeritan Penghuni Neraka Adalah Disebabkan oleh Penangguhan Taubat." - Imam al-Ghazali

1. Ilmu - kepentingan ilmu adalah untuk kita mengenali dan menerapkan dalam hati tentang setiap perkara yang  disyariatkan akan larangannya dan bebanan dosa yang amat merugikan kita di kemudian hari.

2. Keadaan - dengan ilmu di dada, Insya-Allah kesedaran akan mulai menguasai diri untuk kembali menagih keampunan dan keredhaan Allah SWT yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

3. Perbuatan - kesedaran sahaja tidak mencukupi tanpa dituruti dengan perlaksanaan taubat itu sendiri. Inilah peringkat yang paling sukar dipraktikkan oleh insan yang memegang status "MUSLIM" hanya atas dasar nama. Keazaman untuk meninggalkan dan berusaha untuk tidak mengulangi perbuatan yang berdosa dan penuh kemaksiatan seolah-olah terlalu berat kerana dibebani perasaan ego dan sombong terhadap Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Lama kelamaan kelaziman perlakuan maksiat itu menjadi karat yang semakin sukar untuk dikikis.

"...Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup (menjadi karat) hati mereka" - al-Muthafifin (83:14)

Melalui huraian ringkas di atas, ingin saya menasihati diri saya dan para pembaca sekalian agar jangan berterusan dengan sikap sombong dan tenggelam dalam lautan keegoan. Segeralah bertaubat tanpa bersikap berlengah dan tersemat di benak bahawa pasti ada ruang kesempatan di lain kali. Selagi pinjaman nafas ini belum ditarik semula marilah kita sama-sama muhasabah diri dengan mengenang akan kesilapan dan dosa yang nyata atau tersembunyi, yang terdahulu, kini atau pada masa hadapan. Jangan ada suatu penghalang atau tabir dalam kelekaan kita mengejar dunia dan menunaikan hak sesama manusia yang membataskan kita untuk menunaikan hak kepada Allah SWT. Jangan pula sampai diri dan jiwa kita hangus oleh kerana perpisahan dengan kelazatan dunia seterusnya hangus pula menjadi bahan bakar neraka jahannam di kemudian hari.

Perbaiki dan tetapkan amalan yang difardhukan sebaik mungkin. Perbanyakkan amalan sampingan sebagai bekalan yang mampu memberatkan neraca kanan pada hari perhitungan. Benam sifat kemudharatan dari sumber mazmumah dan pasak dengan  keihklasan berteraskan sifat mahmudah. Semoga taubat hambaMu ini diterima oleh-Mu Ya Allah Tuhan Sekalian Alam. Semoga amalan hambaMu ini diangkat dengan penuh keredhaan-Mu Ya Allah, Ya Rahman, Ya Ghafur, Ya Rahim.

Semoga diberi kesempatan lagi bertemankan papan kekunci ini menyebarkan peringatan sesama manusia. Indahnya ilmu itu daripada Allah yang Maha Sempurna, cacat cela penyampaian di ruang ini adalah daripada kekurangan diri saya sendiri. Ampuni hamba-Mu yang hina ini Ya Allah.

"Ikutikah keburukan itu dengan kebaikan, maka kebaikan itu akan melebur keburukan tadi." -Rasululah SAW (HR Thabrani)

Comments