BFF - Best Friend Forever

Assalamualaikum… Alhamdulillah. Sejahtera ke atas Nabi SAW, ahli keluarga dan para sahabat. Bertemu kembali di medan maya penuh cerekarama dalam kategori Bicara Cinta yang sekian lamanya tidak dikemaskini. Bicara cinta tidak semestinya berkonsepkan edisi jiwang karat sebaliknya perlu diperluaskan dari segi definisinya. 

BFF
Pada sesi penulisan kali ini saya ingin melontarkan pandangan dari persepsi dan perspektif pengalaman sendiri tentang tajuk besar di atas. BFF @ Best Friend Forever. Jika anda tidak meneruskan pembacaan sehingga noktah yang terakhir, anda antara pembaca yang kerugian kerana mungkin sindiran sinis yang akan saya kemukakan sedikit sebanyak dapat memberi impak kepada anda untuk merenung kedudukan anda di sisi orang-orang di sekeliling. Hahha..

Kawan, rakan, sahabat atau teman? Saya lebih suka mengklasifikasikan jenis-jenis perkenalan ini kepada empat kategori. Mari kita lihat kupasan intipati bagi setiap kategori dan merenung kebenarannya dari aspek dan perspektif yang berbeza.

1. Kawan

Saya berpandangan, kawan adalah kenalan yang kita kenali secara terus tanpa melalui sebarang medium yang menghubungkan. Contohnya kawan sekelas yang kita kenal seawal  usia kanak-kanak yang sudah boleh berfikir. Kawan sekampung, jiran tetangga yang sebaya dan sebagainya yang mana pergaulan dengan mereka tidak terlalu rapat tetapi perangai mereka berada dalam poket kita. Bertegur sapa pada masa-masa tertentu sahaja, itupun jika berkesempatan bersua muka ataupun terserempak.

2. Rakan

Kebarangkalian berpunca dari kawan tetapi melalui beberapa medium, antaranya medium sosial alam maya, kawan atas kawan, persekitaran (tempat kerja, kolej dan sebagainya) yang mana perhubungan ini selalunya tidak kekal apabila berlaku perubahan. Contoh; rakan sekerja yang hanya bergaul di tempat kerja dan apabila berlaku perubahan (tukar kerja, berhenti atau lain-lain) hubungan yang terjalin menjadi suam-suam kuku atau mungkin terputus sama sekali.

3. Sahabat

Boleh terjadi bermula dari unsur pertama atau yang kedua. Sahabat menggambarkan keakraban tetapi dari sudut perkongsian maklumat adalah terbatas atas dasar-dasar tertentu. Dari sudut pengamatan saya, sahabat boleh didefinisikan sebagai kenalan yang rapat bilamana tatacara komunikasi lebih bersahaja dengan gurauan yang keterlaluan pada pendengaran orang lain. Sahabat bukan tempat mengadu masalah yang terlalu peribadi walaupun pada zahirnya pergaulan lebih kerap berlaku (melakukan kebanyakan aktiviti bersama).

4. Teman

Teman merupakan sandaran yang acapkali dijadikan tempat mengadu. Teman yang saya ketengahkan di sini bukanlah bermaksud kekasih, tetapi merupakan orang kepercayaan tatkala hati kita gundah gulana dengan permasalahan bersifat peribadi. Melalui perkongsian dan pertukaran maklumat selalunya membawa kepada penyelesaian masalah. Seorang teman itu tidak semestinya berlainan jantina dan kategori teman ini pula terpecah kepada dua bahagian.

4.1. Teman yang pernah ditemui secara realiti walaupun jarang bersemuka tetapi sering dihubungi.
4.2. Teman alam maya yang rapat di persekitaran medium maya.

Kedua-dua jenis teman ini boleh menjadi orang kepercayaan walaupun berkemungkinan belum pernah ditemui dan jarang melakukan aktiviti bersama.

Kesimpulan - Secara umumnya :

Kekerapan melakukan aktiviti bersama bukanlah menjadi faktor yang boleh dikelaskan  bagi mencerminkan "Best Friend Forever". Medan maya adalah salah satu medium yang boleh menjurus kepada istilah yang disebutkan. "BFF" boleh dicerminkan sebagai seseorang yang dipercayai dan boleh menerima dan memberi teguran secara telus.

Daripada empat kategori yang diketengahkan di atas, dimanakah kedudukan anda di sisi kenalan di sekeliling anda? Mungkin ada salah seorang daripada kenalan anda itu boleh diiktiraf sebagai "BFF" atau mungkin tidak ada yang boleh diberi pangkat berkenaan. 

Anda fikir anda ada "BFF" di sisi anda? Fikir sekali lagi.

p/s : "You would worry less about what people think if you knew how little they did."

Comments

Anonymous said…
aku yg 4.2 tu...ekeke