Di Persimpangan Dilema Kehidupan


Assalamualaikum…

Pertemuan buat pertama kalinya di awal tahun 2013. Perancangan awalnya saya ingin memulakan misi dan keazaman baru dalam arena penulisan blog tetapi nampaknya terpaksa diketepikan dulu keazaman yang disemai kerana beberapa permasalahan yang tidak dapat dikongsikan dalam lembaran ini. Semoga tahun baru 2013 ini memberi impak yang positif kepada diri saya dan juga kepada para pembaca sekalian hendaknya.

Pengisian kali ini adalah berkisar tentang konflik jiwa. Saya mengambil pengiktibaran melalui pemerhatian umum sebagai muhasabah diri sendiri khususnya. Topik hangat yang menjadi pilihan adalah "Di persimpangan dilema". Macam tajuk lagu tapi kupasan yang ingin saya ketengahkan berkait rapat dengan kehidupan kita seharian. 

Apabila menyebut tentang "simpang", pastinya secara tidak langsung otak kita akan mendefinisikan dengan gambaran pelbagai pilihan arah tuju yang boleh dilalui. Cuma yang menjadi masalahnya adalah pilihan jalan yang mana satu akan membawa kita menuju ke arah destinasi yang  betul. Manakala istilah "dilema" pula menggambarkan dengan jelas tentang kekeliruan dan kebuntuan akal dalam menentukan pilihan yang tepat secara dasarnya.

Adakala kita dibelenggu dengan pelbagai bebanan yang memungkinkan kita akan memilih jalan singkat dengan alasan untuk melepaskan diri daripada sesuatu masalah dalam kehidupan. Dengan tekanan persekitaran serta situasi semasa yang memberi bebanan, seseorang itu seolah-olah mati akal untuk mencari jalan penyelesaian yang rasional dengan realiti. Contohnya dalam konflik yang melibatkan antara cinta dan kerjaya. Mungkin pada plan dasar nampak bergerak lancar tetapi secara tiba-tiba berlaku suatu situasi yang tidak dijangka secara mendadak muncul dalam keadaan kita tidak bersedia menghadapinya. 

Inilah yang dinamakan ujian. Ujian yang benar-benar menuntut akal dan hati agar terus bersatu dan jika terpisah konflik yang dihadapi akan menjadi semakin rumit. Sememangnya kita bijak merancang tetapi kita terlupa untuk membuat persediaan sekiranya berlaku rintangan yang bertandang tanpa diduga apatah lagi hendak diundang. Perkara sebeginilah yang acapkali berlaku kepada kita semua sepanjang menjalani kehidupan seharian. Inilah dia intipati yang terkandung di dalam himpunan kata "Di persimpangan dilema" yang dapat diselidiki menerusi perspektif pemikiran saya.

Moral daripada pengisian yang ingin saya sampaikan di sini adalah, kita perlu menyiapkan diri dengan sebuah nota peringatan sebagai persediaan menghadapi ujian di pertengahan jalan. Sekurang-kurangnya kita tidak terus mati akal untuk memilih jalan alternatif dan merenung kebarangkalian yang lebih persis dari sudut pemikiran yang masih positif. Ada waktu "bertindak sebelum berfikir" memberi hasil yang memuaskan tetapi hakikatnya tidak terjamin, ada ketika "berfikir sebelum bertindak" tidak memberi hasil seperti yang diharapkan. Inilah yang menjadikan kita seringkali terperangkap di persimpangan dilema.

Apa yang boleh kita lakukan adalah merancang dengan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan. Yang paling penting kita tidak perlu bertindak melulu taat menuruti kata hati semata-mata atau patuh dengan buah fikiran singkat. Dalam setiap perkara kita perlu lebih teliti, merenung dari setiap arah pandangan supaya kesan daripada tindakan yang bakal diambil tidak meninggalkan parut (penyesalan) yang berpanjangan.

Akhir kata, anda yakin akan mencapai azam tahun baru anda? Fikir sekali lagi.

p/s: Rukun Iman yang ke-6 (Percaya kepada Qada' dan Qadar)

Comments