Motivasi Revolusi

Assalamualaikum...

Ada waktunya diri diselubungi oleh suatu rasa kesuraman dan tidak bermaya kerana faktor persekitaran yang menjolok unsur negatif. Jelas sekali mental manusia biasa perlukan suntikan semangat  positif sebagai penggalak untuk berevolusi. Perubahan suasana mempengaruhi sikap dan tindak-tanduk kita dalam melaksanakan sesuatu perubahan dalam diri untuk statik, dinamik atau drastik. Seperti yang telah dijanjikan, pada pertemuan kali ini saya akan mengupas tentang topik "REVOLUSI" secara umum mengikut perspektif pandangan dari sudut saya melihatnya.

Alam berevolusi, ketamadunan berevolusi, dan semestinya dalam diri setiap insan itu juga terpaksa atau terdesak untuk turut sama berevolusi demi mengejar peredaran waktu dan zaman. Sesuatu yang tidak berevolusi itu dinamakan adat tetapi semakin lama semakin menjauh dari sudut hati. Begitu juga jika kita lihat menerusi jendela agama. Hukum yang berevolusi serta punya rukhsah adalah ketetapan feqah yang bergantung kepada kesesuaian waktu dan keadaan, dan yang kekal tidak berubah dinamakan sebagai akidah kerana ia adalah perkara mutlak yang menjadi pegangan.

Revolusi merupakan suatu titik-titik perubahan yang bergerak mengikut aturan dan logika. Revolusi tidak bersifat statik. Revolusi dalam konteks ketamadunan bergantung kepada kepekaan akal manusia dalam mencetus pembaharuan dan perubahan. Adakala ia bersifat gerak perlahan dan ada waktu ia bersifat drastik. Perihal yang menentukan setiap gerak ini adalah unsur penerimaan dari sudut mentaliti. Namun begitu bukan semua perkara dapat direvolusikan. Perkara sebegini sudah tertanam sejak sekian lama dan berakar-umbi serta menjadi taklid yang putus.

Jika kita teliti tentang cinta juga ada unsur revolusi. Contohnya zaman dahulu kala masyarakat mengutamakan soal cinta selepas kahwin. Hal ini tampak jelas berbeza pada masa kini. Inilah yang dinamakan revolusi melalui terowong masa dan perubahan dari aspek mentaliti. Justeru itu, manusia akan terus mengalami revolusi secara desakan mahupun kerelaan. Ini adalah sesuatu yang normal dari sudut akal. Revolusi adalah unsur yang memperlihatkan tingkatan perubahan dari semasa ke semasa.

Namun begitu setiap perkara yang melibatkan revolusi mempunyai kesan sampingan samada positif mahupun negatif. Ada revolusi yang memberi impak peningkatan dalam sifat manusia dan ada juga revolusi yang tidak dapat diterima secara bulat-bulat seterusnya menimbulkan seribu satu konflik. Keupayaan revolusi itu kadangkala dikesampingkan oleh benteng prinsip akal manusia. Mari kita renungkan sejenak revolusi yang dilaungkan dalam diri kita sendiri dengan melihat kepada kebolehupayaan kita untuk berubah. Ada sesetengah dari kita yang tewas kepada emosi dalam peperangan revolusi diri sendiri.

Oleh itu secara jelasnya manusia tidak dapat lari daripada berevolusi. Cuma kaedah dan ketetapan masanya berbeza. Apa yang penting adalah corak pemikiran kita perlu sentiasa peka mengesan setiap gerak revolusi yang mampu mengarahkan kita kepada struktur positif yang kukuh. Dengan pengamatan yang ampuh kita mungkin tersungkur dalam melaksanakan revolusi sejagat. Soalnya adalah kekuatan hati dan minda kita dalam penerimaan sesuatu revolusi itu. Akhir kata semoga kita mampu berevolusi secara normal melalui jalan-jalan positif dengan suntikan moral yang jelas dan tetap agar tidak terus dibayangi mimpi yang mencetus ilusi. Selamat berevolusi.

Comments