Sindiran Sinis Bukan Mengata

Assalamualaikum...

Dari gaya lenggok seperti orang berada. Hakikatnya hanyalah dusta mata bagi si penglihatnya. Keegoan manusia yang taksub dengan bayangan dunia semata. Penuh dengan lakonan yang memperdaya jiwa-jiwa manusia. Ampuh dengan kenikmatan, tewas dengan ujian derita sementara. Tidak mahu kalah dalam perang bicara. Walaupun di sebalik kata-kata hanyalah sandiwara. Lemas dalam gelora. Gelodak nafsu terus membara. Omongan berterusan direkacipta. Lumrah fenomena dan sifat manusia. Dulu, kini dan selamanya. Akhirnya tersungkur di pentas dunia.

Ketawa pengubat duka. Menangis penawar derita. Berseloroh gurau senda. Ada ketika berendam airmata. Buah bicara terngiang di halwa telinga. Hendak ditangkis tidak berdaya. Terima sahajalah seadanya. Didengari boleh jangan dipercaya. Nukilan indah bikin teruja. Kerana semuanya adalah tipu daya. Jika terjebak diri merana. Hati terguris jiwa derita. Kerana terperangkap helah si durjana. Manis di bibir bermain kata-kata.

Jangan khuatir jika terkena. Kerana di sebalik kesakitan masih ada penyembuhnya. Yang penting akal fikiran harus bijaksana. Menghargai masa mengolah rencana. Masa depan tidak terhenti begitu sahaja. Bersabarlah mencari jalan penyelesaiannya. Kerana usaha mungkin berjaya. Dorongan tekad yang terus membara. Berfikir dengan selesa. Bertindaklah dengan sewajarnya.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung jangan kita lupa. Kerana prinsip inilah cahaya bagi kita. Untuk mencari jalan pulang kala tersesat dalam gelita. Jangan mengalah jangan putus asa. Sekian hari semakin dewasa. Gunakanlah seluruh pancaindera. Manfaatkan dengan sebaiknya. Anugerah terindah Yang Maha Esa.

Sampai di sini pertemuan kita. Antara si penulis dan si pembaca. Celoteh ini sekadar mainan bahasa. Untuk kita renung-renungkan bersama. Sindiran sinis buat pencinta seluruhnya. Bukan senang bersenggama dengan cinta. Bukan semua boleh bercinta dan mengecap bahagia.  Semoga terkesan di hati kita semua. Salam sejahtera sebagai penutup bicara. Semoga dipertemukan di lain masa. Aku menulis bukan kerana nama.

Comments