Kemelut Remaja, Wawasan dan Warisan

Assalamualaikum.

Gambar hiasan.
Zaman yang senantiasa indah dalam kenangan adalah zaman kanak-kanak, zaman yang penuh pancaroba perkara baru itu adalah zaman remaja, manakala zaman yang dibebankan dengan seribu satu tanggungjawab adalah zaman dewasa, zaman untuk bertafakur mengenang kisah lama adalah zaman tua di hujung usia. Saya harap dengan pembuka kata pemanis bicara yang panjang lebar sebegini tidak membosankan para pembaca. Saya bukanlah seorang pujanggawan mahupun sasterawan yang berpendidikan khusus dalam bidang penulisan, cuma ada ketikanya tatkala bersenggama dengan ruang waktu senggang, gugusan ilham kunjung datang bersama inspirasi yang tidak terduga. Untuk menjadi penulis yang hebat, tidak mustahil.

Saya bukanlah manusia "luarbiasa" dalam komuniti blogger tempatan mahupun antarabangsa. Setiap pengisian yang saya hasilkan di lembaran maya naluri-ini.blogspot.com adalah kurniaan berbentuk luahan dan curahan rasa terpendam yang bersifat umum. Ada orang yang betah dengan bicara lisan dan ada juga yang lebih selesa berinovasi dengan lontaran kata-kata bisu. Kesilapan yang biasa kita lakukan adalah menilai seseorang dengan melihat kepada penampilan luaran. Bak kata nasihat pepatah Inggeris, "Don't judge a book by its cover". Mentaliti perlu cenderung untuk memanfaatkan kelebihan pancaindera. Tak kenal maka tak cinta, belum cuba belum tahu.

Panjang lebar sesi pengenalan diri. Maklum sahaja, bukan mudah untuk insan biasa seperti saya mengolah bayangan menjadi kata-kata. Saya kategorikan pengisian kali ini sebagai edisi khas yang mencabar minda dalam menghasilkan sebuah rangkuman inspirasi. Tiada tajuk khusus untuk diperkatakan, tetapi saya mengambil pendekatan untuk membicarakan tentang dunia remaja sekarang secara umum dalam tujuh perenggan berikutnya. Semoga pembaca tidak kebosanan dengan lontaran dan susunan ayat-ayat biasa saya. Apa yang terhidang untuk bacaan anda ini adalah ulasan dari persepsi saya sendiri keseluruhannya.

Remaja diselubungi kecanggihan Gajet.

Dunia remaja dahulu kala dan dewasa ini sememangnya tampak ketara perbezaannya. Revolusi persekitaran dan teknologi adalah faktor yang memberi kesan khas kepada golongan remaja dalam mencari halatuju kehidupan. Remaja dahulu bukannya tidak maju, cuma kemajuan itu tidak dikecapi secara drastik seperti dunia hari ini. Elemen teknologi memainkan peranan penting dalam kancah kematangan remaja di zaman serba membangun ini. Dulu-dulu remaja berhubungan jarak jauh dengan perantaraan surat-menyurat dan abang posmen, tetapi kini telah digantikan dengan pelbagai kemudahan pesanan ringkas. Penciptaan gajet-gajet canggih telah memonopoli keindahan kaedah dan adat resam manusia keseluruhannya. Mana mungkin ada lagi golongan remaja zaman ini yang cenderung untuk menulis surat di lembaran kertas kajang seperti zaman dahulu. Ada pelbagai perisian bual-bicara canggih telah dicipta bagi menggantikan kecekalan manusia dalam berinteraksi sesama sendiri.

Remaja dihantui semangat Laman Sosial.

Mahu atau tidak kita mesti mengakui bahawasanya golongan remaja dewasa ini lebih banyak menghabiskan masa dengan kemudahan internet. Bersosial secara maya dengan identiti jujur dan palsu. Remaja di zaman teknologi canggih lebih banyak menghabiskan masa menelusuri dan berinteraksi sesama mereka melalui jaringan laman sosial. Positifnya apabila bahan interaksi adalah perkara yang berpandukan fakta. Kontra pada sisi negatif pula mungkin perkara yang diperkatakan adalah perihal yang boleh menjatuhkan jatidiri. Laman sosial lebih berpengaruh daripada peranan penjaga remaja yang sebenar. Para penjaga juga turut leka dengan hasutan dan pengaruh laman sosial.

Cendawan Blog Penulis Remaja.

Blog merupakan pemangkin kepada karya penulisan dan persembahan maya. Blog telah membuka ruang kepada semua golongan khususnya remaja, untuk berkongsi pelbagai cerita semasa dan kehidupan. Alternatif baru menggantikan coretan di dalam diari. Coretan peribadi adalah aspek dan ciri-ciri jelas yang digunakan oleh golongan remaja di dalam komuniti blogger keseluruhannya. Sedar atau tidak, dengan pembinaan sesebuah blog peribadi mampu menjana pendapatan tetapi tidak konsisten. Buat duit dengan blog merupakan manfaat sampingan yang menjelaskan bahawa meluangkan sedikit masa untuk bercerita melalui penulisan di blog bukanlah perbuatan yang sia-sia. Pertumbuhan blog golongan remaja memeriahkan lagi komuniti blog yang semakin suram terutama sekali bagi golongan yang suka membaca. Ada pembaca yang menagih fakta, ada juga pembaca yang gemar dengan bahan bacaan santai. Sepanjang pengamatan saya, ramai blogger dan penulis berbakat yang hilang dan muncul dalam perjuangan di medan ini.

Remaja dan Cinta.

Cinta itu adalah kalimah indah dari segi bahasa tetapi kebenarannya tidaklah seindah kalimahnya. Elemen cinta merupakan perkara yang menjadi lumrah dalam kehidupan manusia normal. Cinta remaja adalah fenomena semasa yang bukan lagi menjadi kisah pelik. Yang membezakan hukum cinta di antara cinta remaja dan cinta dewasa adalah matlamat di akhirnya. Percintaan di kalangan remaja lebih terjurus kepada sifat ingin merasa dan menimba pengalaman. Tidak dinafikan, ada juga cinta remaja yang kekal bahagia ke pelaminan. Saya bukan doktor cinta yang mampu memberi motivasi, tetapi dari pemerhatian saya cinta di kalangan remaja membawa lebih banyak impak negatif dari pelbagai sudut. Mungkin ada yang lalai dengan tuntutan pembelajaran akedemik dan mungkin ada yang terjerumus ke arah ketelanjuran dalam hubungan.

Remaja Pemangkin Negara.

Remaja pada zaman millenium ini lebih cepat matang dengan perubahan persekitaran mereka. Jika dahulu remaja tidak banyak diberi perhatian dan pendedahan secara terbuka, tetapi kini ada berbagai-bagai aktiviti anjuran pihak berwajib melibatkan golongan remaja. Antaranya adalah aktiviti Sejuta Belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan Negara. Dengan penganjuran program seperti ini, para belia dapat berinteraksi dan berkongsi pelbagai kemahiran di samping dapat merapatkan ikatan silaturrahim. Saya melihat pelaksanaan program yang melibatkan golongan remaja sebegini dapat memberi impak positif dalam menyedarkan para remaja bahawa mereka berperanan penting dalam merealisasikan keutuhan struktur pentadbiran negara. Sikap kepimpinan perlu diasuh dengan pendedahan umum serta berkeinginan untuk turut serta dengan sebarang perencanaan aktiviti sosial yang terkawal.

Remaja dan Media Elektronik.

Hujan senjata psikologi yang tidak dapat dielak lagi. Dengan perkembangan ideologi semasa, dunia masa kini dihujani dengan kemunculan medium elektronik mesra pengguna yang dinamakan "Telefon Pintar". Ketajaman jurus senjata ini telah menusuk jauh di setiap penjuru mental remaja yang bersifat ingin tahu dan ingin cuba. Faedah berkesan dalam menggali pelbagai maklumat semasa kini hanya dihujung jari tidak kira waktu dan tempat. Tidak hairanlah apabila digembar-gemburkan sudah tidak wujud lagi kemesraan dalam pergaulan. Bila tiba masa berkumpul, masing-masing dengan gajet sendiri dan kurang prihatin dengan kehadiran insan lain di sisi. Perkara ini jelas lagi nyata bahkan ketika bersama keluarga, anak-pinak lebih cenderung melayan kerenah kenalan di medan sosial. Telefon pintar menjadi peneman setiap masa.

 Kebangkitan dalam cetusan revolusi mengajar kita erti kemajuan yang bergerak secara drastik. Tetapi dalam dunia yang serba canggih membangun ini banyak perkara silam yang diabaikan. Adat resam. Remaja yang hidup di zaman millenium ini kebanyakannya sudah terpisah dengan himpunan memori dan adat resam yang perit tapi indah. Perkara ini berlaku dan akan terus berubah mengikut kesesuaian peredaran masa. Bagi mengharungi kehidupan di zaman ini, remaja perlu mengikuti jejak pesat pembangunan. Namun begitu, hidup tidak indah jika pembangunan yang dikecapi menenggelamkan sisip-sisip kemesraan sesama manusia. Oleh itu, saya berpesan kepada semua remaja dan kepada diri sendiri khususnya agar tidak hanyut terlalu jauh sehingga tenggelam dan lemas ke dasar arus teknologi. Teknologi hanyalah sekadar keperluan sejagat. Teknologi bukan suatu kewajipan yang harus diutamakan. Di sisi kita ada jiwa-jiwa yang perlukan lebih perhatian dan persekitaran yang semakin menghilang iaitu warisan. Anda fikir anda seorang remaja yang berwawasan? Fikir sekali lagi.

Comments

Tengkubutang said…
memang zaman kita kini dah maju dengan macam2.. tapi risau jugak kalau x diawasi ditakuti anak2 mudah mengambil nilai negatif dari positif dari sumber2 media/gadget terkini skrg ni..
yusenze said…
@tenku butang
Bukan takat anak2, mak bapak pon dah leka dengan kemajuan. Main talipon aje kejenye.. hahha.. (makan talipo tu)