Nama Domain Pengaruhi Identiti & Kata Kunci

Assalamualaikum..

Baca tajuk besar di atas semacam ada sesuatu yang menjadi rahsia besar di sebalik penggunaan nama domain yang khusus. Hari ini minda saya cenderung untuk berceloteh tentang blog dan resamnya. Bukan mahu memandai, tidak pula ingin menunjuk pandai. Namun begitu, pengisian yang ingin disampaikan sedikit sebanyak dapat memberi pedoman kepada anda yang tidak tahu mahupun belum tahu. Selamat datang ke dunia blog dan laman sesawang yang sebenar.

Hari ini saya sekadar mahu bercerita tentang domain name sahaja. Bab hosting mungkin akan dibicarakan di episod mendatang kalau penulis rajin. Apa itu nama domain? Secara khususnya nama domain merupakan alamat blog/website yang diolah bagi menggantikan penggunaan alamat IP. Tujuannya adalah untuk memudahkan manusia sejagat untuk mengingati sesuatu alamat laman sesawang tertentu. Huraian ringkas di atas tidak mengambilkira dan menyentuh sebarang perkaitan dalam etika SEO.

Nama domain merupakan pengkhususan bagi mengenali identiti sesebuah laman sesawang. Sesiapa sahaja berhak memilih untuk menggunakan sebarang nama domain selagi ianya tidak digunakan oleh pengguna peribadi mahupun pengusaha yang lain. Nama domain akan diindeks ke dalam pengkalan data enjin carian mengikut keistimewaan servis yang anda gunakan mahupun servis yang anda persembahkan. Dalam ertikata lain, keutamaan akan ditapis oleh enjin carian berdasarkan nilai/harga domain dan tahap populariti serta keaslian bahan yang digunakan.

Tetapi, sejauh mana keberkesanan kadar indeks kata kunci akan dipengaruhi oleh penggunaan nama domain berbayar? Apabila menyentuh bab "indeks", secara tidak langsung kita telah terjerumus dalam permainan SEO. Saya tidak akan membuang banyak masa untuk bercerita semula tentang  SEO. Jika anda prihatin atau lebih bersifat ingin tahu, anda boleh baca setiap kepentingan SEO dalam pengisian saya yang lepas.

Terlalu asyik bercerita, pasti pembaca tertanya-tanya kenapa saya sendiri tidak menggunakan nama domain khusus untuk blog Naluri Ini. Jawapannya adalah, dahulu saya telah menggunakan nama domain khusus tetapi apabila mood untuk menulis telah lari jauh meninggalkan diri ini lama kelamaan nama domain tidak diperbaharui. Saya akui ada sisi kerugian yang dialami terutama sekali apabila menyentuh tentang permainan kata kunci @ keywords

Kenapa saya tidak memperbaharui nama domain semula? Baiklah, terlintas juga di hati untuk memperbaharui tetapi saya perlu menjadi seorang yang amat penyabar. Dan hakikatnya saya bukanlah orang yang sabar untuk bersenggama dengan waktu merintih enjin carian untuk mengindeks kembali setiap penulisan saya di blog ini. Setakat ini saya masih boleh mengharapkan sebilangan kata kunci yang berangkaian dengan pengantara blogspot dan Google. Oleh yang demikian saya tidak gusar dan susah hati menggunakan nama domain percuma.

Kesimpulan yang ingin saya sampaikan adalah, jika anda ingin maju dalam bidang penulisan blog, anda perlu hadir dengan karya dan pengisian yang asli. Selain daripada itu, keberkesanan permainan kata kunci adalah bergantung kepada aspek penggunaan bahasa dan struktur ejaan anda. Anda perlu kekal dengan personaliti anda sebagai penulis blog yang beridentiti. Hindari sebarang aktiviti plagiat walaupun cerita yang ingin anda ketengahkan merupakan topik hangat dikalangan penulis blog yang lain. Penggunaan nama domain khusus memberi anda suatu kelebihan dalam permainan SEO sekiranya anda peka. Anda tidak perlu menjadi seorang yang profesional, apa yang perlu diterapkan dalam diri adalah untuk bersifat profesional dari sudut ketelusan bahan penulisan anda. 

Anda fikir nama domain mempengaruhi enjin carian sepenuhnya? Fikir sekali lagi.

A dragon is just a dragon until he faces you. then he is Mr. Dragon.

Comments