Ya atau Tidak, Betul atau Salah

Ya atau Tidak, Betul atau Salah

Assalamualaikum. Salam sejahtera. Ceria sentiasa. Sihat tubuh badan, minda terus cerdas, hati tidak gundah gulana dengan bebanan masalah. Pengisian kali ini hanyalah sekadar coretan kenangan mengusik jiwa dalam ruangan karutan. Pastikan anda bertahan membaca artikel saya ini hingga noktah yang terakhir. Bukan topik berat tetapi hanya sekadar selingan kisah lalu. Pengalaman dari aspek kehidupan yang mengingatkan saya tentang keseronokan alam penulisan. Semakin hari semakin pudar. Semakin lama semakin dilupakan. Itulah kuasa arus peredaran zaman dan kecanggihan teknologi semasa.

Saya pernah lakukan dan alami. Dulu-dulu, masa teknologi perhubungan belum canggih dan popular, pengantara yang menjadi pilihan utama adalah surat tulisan tangan. Seingat saya semasa era 90-an ada satu ruangan "Penpal" dalam sebuah majalah hiburan. Dalam ruangan itu ada ramai individu yang meletakkan nama dan alamat bagi tujuan berkenalan dengan rakan baru jarak jauh. Secara ringkasnya kalau kita berminat hendak berkenalan, bolehlah kirimkan hasrat hati melalui kiriman lembaran kertas kajang. Pekerja POS pastinya sibuk sepanjang hari mengasingkan surat-surat mengikut daerah dan negeri. Bila terkenangkan zaman rancak berutus surat, secara semulajadi bibir mengukir senyum sendiri.

Al-maklum sahaja, pada era itu sistem komunikasi agak terhad. Teknologi "Pager" agak menyusahkan pengguna. Telefon bimbit belum menjadi harta mampu milik bagi semua golongan. Telefon awam jadi port paling popular menunggu giliran. Yang paling canggih pun ruangan chatting "MIRC" (platform internet, monitor skrin cembung, hitam putih) bagi mereka yang advance sikit la. Dengan mengambilkira faktor-faktor di atas, kaedah berhubung paling mudah adalah dengan menulis surat walaupun mengambil masa dan memerlukan daya usaha yang lebih. Namun, berutus surat amat menerujakan bilamana kita menerima balasan yang positif. Menulis surat memerlukan pemikiran dan idea yang kreatif. Kreativiti dalam mengolah dan menyusun ayat menggunakan perkataan-perkataan yang beradab susila. Kadangkala puitis jiwang karat, kadang-kadang ringkas padat tepat.

Bila menjelma abad ke-20 dengan pembangunan teknologi yang pesat, pena dan kertas kajang sudah semakin ketinggalan dan kian dilupakan. Bermula dari era ini penulisan warkah semakit luput dari ingatan. Inilah dia zaman pengenalan kepada teknologi mampu milik secara berleluasa. Telefon bimbit pelbagai saiz dengan nada dering mengikut pilihan lagu semasa. Paparan tanpa warna berubah kepada paparan skrin warna-warni. Pengenalan kepada medium internet dengan kewujudan media sosial seperti "Friendster", "MySpace", dan "Tagged" sebelum kemunculan Facebook. Kemudian penggunaan jaringan internet dipermudahkan lagi dengan memperkenalkan sistem jalur lebar "WIFI". Masa ni, mana-mana tempat kebanyakan orang melepak dengan laptop. Penulisan jurnal peribadi tidak lagi direkodkan dalam diari, tetapi sudah bertukar platform kepada penulisan blog yang tumbuh dengan subur. Bila direnungkan secara teliti, cepatnya masa yang berlalu mengubah cara hidup manusia sejagat.

Dulu-dulu orang berebut nak upgrade gaya dengan memiliki telefon paling kecil. Dari Ericsson botol air kepada Nokia 3210, seterusnya Nokia 3310, up sikit lagi Nokia 8210 dan maju sikit lagi Nokia 8250 Butterfly. Kini perubahan berlaku lagi sejak populariti gajet mampu milik dinaik taraf kepada telefon pintar. Semakin besar saiz skrin sesentuhnya semakin nampak bergaya dan menjadi trend. Fenomena melepak kat kedai mamak dan restoran makanan segera dengan komputer riba beransur hilang. Sekarang masing-masing mengadap smartphone menatap laman sosial tanpa menghiraukan situasi sekeliling. Kebanyakan yang leka dengan berita sensasi peribadi di laman Facebook. Tidak kurang juga yang hanyut melayan Youtube. Sesetengahnya asyik menatap gambar-gambar makanan di Instagram. Anda fikir anda bukan salah seorang daripadanya, fikir sekali lagi.

Wah, panjang pula bebelan karutan. Sampai di sini dahulu perkongsian pengalaman dalam kisah lalu mengimbas kenangan. Insya-Allah bertemu lagi di lain lembaran dengan cerita-cerita karutan yang berbeza.

Age is never important unless you're a wheel of cheese.

Comments

titan said…
biasalah tu.

zaman sekarang, teknologi bergerak terlalu pantas.