NALURI KERDIL - Episod 1

Kesinambungan dari Naluri Kerdil - Epilog


 Matanya semakin segar melihat keindahan panorama alam sepanjang perjalanan ke bandaraya Kuala Lumpur. Meliar sahaja pandangannya menebusi jendela bas Cepat Express memerhati kenderaan lain yang sama-sama melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Namun hatinya masih lagi dilanda gelisah. Apa yang bermain di kotak fikirannya adalah janji Shakir yang akan menjemputnya di Hentian Puduraya dan tentang pekerjaan yang bakal ditawarkan kepadanya. Walau apapun pekerjaan yang ditawarkan, dia akan akur sahaja kerana dia sedar akan dirinya yang tidak memiliki segulung sijil pun dan tidak pernah menerima sebarang pendidikan formal.

Shakir adalah rakan sepermainannya yang memang rapat sejak kecil lagi. Mereka membesar dengan pelbagai agenda nakal yang dilakukan bersama. Zamri tersenyum sendirian mengenang masa lampau. Terkenang-kenang dia semasa mereka merencanakan  rancangan membakar motosikal Pak Bidin hanya kerana orang tua itu melarang mereka mandi di lombong. Mereka bertikam lidah dengan Pak Bidin serta tidak menuruti larangannya.

Mereka melaksanakan tindakan nakal tersebut tatkala embun pagi mulai menitis di daunan. Suasana kecoh menyelubungi segenap pelusuk kampung. Ketua kampung segera mengarahkan beberapa orang kampung supaya menangkap mereka berdua kerana Pak Bidin telah menceritakan tentang perihal yang berlaku di lombong petang berkenaan. Sudah tentu tiada suspek lain yang terlintas di benak Pak Bidin. Sebenarnya itu adalah idea Shakir yang pada mulanya Zamri sangka hanyalah idea kosong semata-mata. Dia hanya menyedari bahawa idea yang disuarakan oleh Syakir itu bukanlah omong kosong tatkala Syakir tiba di tempat mereka sering menghabiskan masa dengan sebotol minyak tanah.

Pada pagi yang dingin itu, mereka telah melarikan diri ke belukar untuk bersembunyi. Namun, mereka tertangkap juga akhirnya setelah dikepung oleh beberapa orang penduduk kampung. Dengan tanpa belas mukanya ditampar oleh ayah Shakir di khalayak ramai. Orang tua itu tidak henti-henti menuduh Zamri telah mempengaruhi Shakir dengan pelbagai perbuatan nakal. Segala perkara lalu diungkit dan Zamri han melarikan diri ke belukar untuk bersembunyi. Namun, mereka tertangkap juga akhirnya setelah dikepung oleh beberapa orang penduduk kampung. Dengan tanpa belas mukanya ditampar oleh ayah Shakir di khalayak ramai. Orang tua itu tidak henti-henti menuduh Zamri telah mempengaruhi Shakir mengikutinya melakukan pelbagai perbuatan nakal. Segala perkara lalu diungkit kembali dan Zamri hanya mampu menyembunyikan segala kemarahannya di dalam hati.

Akibat tindakan mereka malam itu, mereka telah diiserahkan kepada pihak polis. Itulah pengalaman yang menjadi igauan Zamri. Saat-saat tidur di atas simen lokap yang dingin hingga menusuk tulang. Mereka dibebaskan dalam tempoh dua puluh empat jam, itupun setelah diikat jamin oleh ayah Syakir. Zamri ingin berterima kasih tetapi oleh kerana rasa sakit hati yang membuak-buak atas makian dan cemuhan yang dilemparkan oleh ayah syakir terhadap dirinya, dia hanya menjeling tajam ke arah orang tua itu. Merah menyala mata orang tua itu memandang Zamri. Sejak dari peristiwa itulah dia diberi gelaran ‘budak jahat’ oleh penduduk kampung. Shakir pula telah dihantar ke sebuah sekolah berasrama penuh oleh ayahnya di Kuala Lumpur. Mereka sudah jarang bertemu namun hubungan persahabatan antara mereka tidak pernah terputus kerana Shakir sering mengutus perkhabaran melalui surat.

Shakir kini bergelar pengurus di sebuah syarikat besar di Kuala Lumpur. Shakirlah yang telah menyuruhnya ke Kuala Lumpur dan menjanjikan peluang pekerjaan. Namun pada waktu itu dia tiada modal untuk keluar dari kampung. Dia pernah menyatakan keinginannya kepada Zulaikha tetapi pada mulanya, kakak angkatnya itu telah menghalang niatnya. Hinggalah pada suatu ketika, saat Zulaikha hendak melangkah keluar dari rumah mengikuti suaminya, dia pula yang memberi galakan  dan modal kepada Zamri untuk berhijrah. Pada ketika itu, Zamri tidak dapat lagi menahan rasa terharu dan sebak hingga dia menitiskan airmata jantannya.

Bersambung...

Comments