Tajuk Apa Nak Letak?

"Berkepul-kepul asap putih keluar dari mulut si jejaka. Ekspresi tertekan dipamerkan bersama secebis keluhan panjang. Kelihatan begitu sugul. Bukan kerana memikirkan masalah negara tetapi perihal peribadi yang melibatkan soal komunikasi yang menibulkan isu salah faham."

Assalamualaikum..

Pembuka tirai penulisan kali ini seolah-olah luahan yang agak emosional tetapi masih berada dalam konteks rasional. Persoalan yang ingin saya kupas adalah mengenai soal tanggapan kita sesama manusia. Persepsi yang menimbulkan kekeliruan berpanjangan. Umpama suatu permainan khabar angin yang ditokok tambah bahan penceritaannya. Cerita asal yang diberitakan oleh individu pertama sangat berbeza dengan cerita semula oleh individu berikutnya. Itulah lumrahnya kelemahan buah mulut yang membelenggu manusia dari dulu hingga kini.

Dalam membentuk sebuah sistem komunikasi yang teratur dan tepat, pelbagai kaedah telah digunakan. Namun begitu bukan semua kaedah dapat dipraktikkan. Apabila kita berurusan secara rasmi kaedah penyediaan dokumen adalah amat praktik sekali. Maknanya setiap urusan direkodkan agar tiada fakta bercanggah di kemudian hari. Penggunaan sistem e-mail juga telah digunakan dengan meluas dewasa ini. Penyediaan dokumen hitam putih dapat mengelakkan isu salah faham dalam sebarang urusan rasmi.

Yang menjadi masalah apabila kita berhadapan dengan urusan tidak rasmi. Urusan tidak rasmi merangkumi setiap perkara yang kita lakukan bersama individu lain hari-hari. Tidak mungkin kita dapat merekodkan setiap perkara yang kita lakukan sehari-hari. Apa yang saya maksudkan adalah perbualan kita yang melibatkan soal janji. Masalah dalam soal komunikasi seringkali terjadi kerana faktor kesilapan dalam pendengaran mahupun kesilapan informasi yang dituturkan. Dari perspektif lain pula, nada atau intonasi yang terpacul juga bisa menjadi punca salah faham.

Dalam kehidupan seharian, kita akan berurusan dengan masyarakat sekeliling melalui sistem komunikasi lisan. Kerumitan yang kerap kali timbul adalah salah tafsir butir bicara. Implikasinya adalah salah faham mengenai cerita yang ingin disampaikan sehingga memburukkan keadaan atau membawa sebuah tanggapan yang kurang tepat. Bukan sekadar buah bicara kosong malahan ada sesetengah individu yang bergurau dengan butiran kata-kata agak kasar tanpa niat untuk menyinggung namun tetap disalahertikan. Secara tidak langsung perkara ini boleh menimbulkan atau menjadi punca persengketaan.

Oleh yang demikian, dalam setiap bentuk perbualan atau kaedah komunikasi kita seharusnya peka dengan emosi disekeliling kita. Bak kata pepatah, "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya". Jadi berhati-hatilah dengan setiap butir bicara kita sesama manusia bagi mengelakkan sebarang bentuk permusuhan atau salah faham yang menimbulkan sengketa. Bercakap dengan nada yang jelas dan nyata mengikut kesesuaian keadaan. Walaupun ketika bertutur dengan rakan taulan seharian kita seharusnya menjaga hak sensitiviti yang melukakan.

p/s : Bergurau biar kena pada tempatnya dan pastikan tiada unsur penghinaan yang melampau. Kita tidak dapat menilai kelemahan tatacara komunikasi kita tetapi kita perlu bijak sebelum meluahkan setiap butir kata.

Dari Pena Penulis,


Comments

Kech Hidayah said…
kalau mesej yang cuba disampaikan tu tidak terang, memang boleh menimbulkan salah faham.komunikasi atau penyampaian mesej melalui kiasan jugak tak elok.selain menimbulkan salah faham, boleh mengguris hati pihak yang lain.dan terakhir, sikap sambil lewa penerima mesej juga boleh mengakibatkan mesej tidak sampai dengan tepat.

hoyyeah!
wachak said…
Bagi wa bergurau ada seninya. Peka pada situasi dan dengan siapa kita nk bergurau. Jgn sesekali bergurau secara mencemuh yg melampau atau dalam bentuk makian tapi sekadar usikkan yg sederhana. Jika ada yg terasa dgn gurauan kita kenalah minta maaf secara spontan, jgn di tangguhkan diwaktu lain. selesaikan dengan segera supaya salah faham itu tidak berpanjangan.
RerameUngu said…
bergurau perlu kene pada tempatnya..tak semua org b0leh terima gurauan apatah lagi gurauan kasar..terlaja bot boleh undur, tapi kalo dah terlajak pertuturan tu. pikir la sndri akibatnya...hohoho
nich said…
perghhh boleh jadi chekgu bahasa...
tapi lau stok2 suke bergurau vuduh2 tu cane plak bai?
pastu sekeliling plak asek nak terasa hati..
tacing2.. cane tu bai.. explen la bai.. no hard feeling la bai..
heheehe