Blog Adalah Pilihan Pembaca Golongan Profesional

Assalamualaikum… Pengisian entri kali ini  adalah pandangan rasional saya sebagai penulis blog dan juga seorang pembaca. Dunia blog nampaknya semakin berkembang dan terus menjadi budaya di kalangan pengguna internet. Wujudnya sesebuah blog itu maka secara tidak langsung akan terhasil juga jalinan hubungan sesama manusia. Dewasa ini, interaksi melalui medium blog sudah boleh dianggap perkara biasa.

Melalui survei yang dijalankan oleh pihak LinkedIn, 62% golongan profesional memilih medium internet dan blog sebagai bahan rujukan tertentu. Berbeza dengan laman web statik, laman blog lebih mesra pembaca dari segi menyumbang informasi yang diperlukan. Di samping itu juga pihak yang menulis dapat berinteraksi secara terus dengan pembaca melalui ruangan komen.


Pengisian di dalam blog tidak terikat kepada jenis penerbitan yang khusus sahaja bahkan maklumat boleh disalurkan menerusi garapan artikel dengan gaya bahasa yang tersendiri. Dengan ini pembaca tidak akan mudah bosan dan akan lebih tertarik untuk mengikuti perkembangan sesebuah  blog tersebut. Tetapi AWAS! Penggunaan bahasa yang bersifat kurang ajar dan tidak sesuai dilontarkan secara terang bakal menjadikan blog anda melalui fasa kontroversi yang boleh menjatuhkan reputasi anda sendiri sebagai penulis. Oleh itu etika dalam penggunaan gaya bahasa juga menjadi faktor yang penting dalam arena penulisan blog.

Sebagai pembaca pastinya kita menginginkan sesuatu bahan yang segar dari segi pengisiannya. Daya tarikan dalam merungkai sesebuah cerita atau informasi itu adalah menjadi keutamaan bagi setiap penulis blog. Walaupun bahan yang diterbitkan itu ringkas tetapi tetap berjaya menarik pembaca untuk menghabiskan sesi bacaan mereka sehingga noktah yang terakhir. Tidak dinafikan bahawa sesetengah pembaca dan pengguna internet amat sensitif dengan persekitaran atau templat blog yang ditampilkan.

Kebanyakan blog yang muncul hari ini lebih menjurus ke arah penulisan peribadi yang bersifat diari. Bahan yang diterbitkan adalah bersifat santai dan bersahaja tetapi mampu menarik minat pembaca. Dari perspektif psikologinya, setiap entri itu mempunyai nilai dan daya tarikan yang tersendiri. Penghasilan nukilan yang segar akan lebih diminati oleh golongan pembaca walaupun penceritaannya bukanlah mengarah kepada sumber informasi.

Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan juga semua penulis blog yang sudi membaca entri ini agar mengutamakan kualiti dalam setiap bahan yang ingin diterbitkan. Dengan cara ini kita sebenarnya menghargai kesetiaan pembaca di blog kita.

Anda adalah pembaca yang bijaksana, renungkan sejenak pasti anda dapat menilai kepentingan setiap dari hasil garapan anda itu bukan hanya untuk diri sendiri.

p/s : Bukan semua orang boleh menulis mengikut rentak akal dan irama hati seterusnya memikat gerangan si pembaca.

Dari pena penulis,
Yusenze

Comments

Atika Aula said…
betul tu..saya setuju :)
Unknown said…
yeah.. sgt sukar untuk menepati citarasa pembaca :)