Syariat Kelahiran : Akikah dan Cukur Rambut

Menamakan anak yang baru lahir sering dilakukan seiring dengan amalan akikah dan juga mencukur rambut bayi.


Makna Akikah

Bahasa : Akikah bermakna "memutus"

Syarak : Bermaksud menyembelih kambing atau ternakan lain seperti unta, biri-biri dan kibas buat anak yang baru lahir khususnya pada hari ke-tujuh kelahirannya atau selewat-lewatnya sebelum anak itu baligh.

Antara hadis yang memperkatakan tentang akikah ini ialah :

Imam Buhkari merwayatkan daripada Salman bin Amir al-Dhabi r.a berkata; Aku mendengar Rasululah SAW bersabda :

"Bersama bayi itu akikahnya, maka tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripdanya perkara yang menyakitkan (iaitu kekotoran dan najis)"

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya daripada Samrah r.a katanya; Rasulullah SAW bersabda :

"Bayi itu tergadai (tergantung) oleh akikahnya, disembelihkan ia pada hari ke tujuh, hari itu diberikan nama dan dicukur kepalanya."

Bagi Imam Malik r.a, akikah boleh dilakukan pada bila-bila masa seseorang itu mempunyai kelapangan.

Rasulullah menganjurkan supaya anak lelaki diakikahkan dengan dua ekor kambing atau seekor juga memadai (kibas, biri-biri dan sebagainya) yang sempurna sifat dan syarat-syaratnya sedangkan anak perempuan memadai diakikahkan dengan seekor kambing sahaja.

Syarat-syarat Akikah

1. Umur binatang sembelihan
  • Unta berumur 5 tahun lebih
  • Lembu / kerbau berumur 2 tahun lebih
  • Kambing berumur 2 tahun lebih atau telah bersalin gigi
  • Kibas berumur 1 tahun lebih atau telah bersalin gigi
2. Binatang sembelihan sihat dan tidak cacat.

3. Daging akikah dipotong mengikut sendinya dengan tidak memecahkan tulangnya sesuai dengan tujuan akikah itu sebagai 'Fida' (mempertalikan ikatan antara diri anak dengan Allah SWT)

4. Disembelih atas nama anak yang dilahirkan.

5. Tidak boleh berkongsi misalnya beberapa orang berkongsi seekor kambing untuk mengakikahkan anak-anak mereka.

6. Sebaiknya berakikah dengan kambing, tetapi dibolehkan juga berakikah dengan unta, lembu, dan kerbau.

Hukum Daging Akikah

Daging binatang yang disembelih untuk akikah adalah sunat dibuat jamuan untuk juadah ahli keluarga, jiran tetangga dan saudara-mara terdekat.

Amalan Mencukur Rambut (Cukur Jambul)

Anjuran mencukur rambut bayi sempena majlis akikah ini mengandungi hikmah khususnya dari segi kesihatan. Menurut Ibnu al-Qayyim, amalan ini akan meningkatkan tahap kesihatan anak, membuka selaput kepala dan mempertajamkan daya penglihatan, pendengaran dan deria bau.

Hikmah Berakikah

1. Melahirkan rasa gembira atas kelahiran satu iwa Muslim baru yang sujud menyembah Allah SWT di dunia.

2. Mendekatkan diri anak itu kepada Allah SWT atas akikah yang dilakukan.

3. Mengukuhkan tali persaudaraan sesama Muslim apabila majlis akikah tersebut dihadiri oleh kaum keluarga, saudara-mara dan jiran tetangga.

4. Sebagai tebuasan anak tersebut dapat memberikan syafaat kepada ibu dan bapanya.

5. Menunjukkan tanda syukur kepada Allah SWT atas kurniaan-Nya.

6. Menjauhkan anak tersebut daripada segala bahaya dan bencana.

"Sembelihkan binatang atas nama anak yang dilahirkan dan ucapkanlah : ' Dengan nama Allah, ya Allah, Bagi-Mu dan kepada-Mu kupersembahkan akikah si Fulan atau si Fulanah ini." - Hadis riwayat al-Baihaqi



Comments

APi said…
aku nak cukur rambut raya haji ni.. =]