Tingkatan Darjat Taubat

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum...

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam dilimpahkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, dan keluarga, para sahabat dan seluruh orang yang memperjuangkan syariatnya sampai hari kiamat.

"Sesungguhnya Allah SWT itu membayangkan kekuasaan-Nya untuk menerima taubat bagi seseorang yang melakukan dosa pada waktu malam sehingga waktu siang dan bagi orang yang melakukan dosa pada waktu siang sehingga waktu malam. Hal ini akan berlanjutan sehingga tiba waktunya nanti matahari akan terbit dari sebelah barat (hampirnya waktu hari kiamat)" - Rasulullah SAW (HR Imam Muslim)

Pada pengisian yang lalu (Penyesalan Itu Adalah Taubat) saya telah menukilkan serba sedikit tentang hakikat taubat. Pada pertemuan kali ini, insya-Allah saya akan menyambung tentang tingkatan taubat yakni kategori-kategori taubat yang telah diklasifikasikan oleh Imam al-Ghazali rahimahullahuta'ala anhu. Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat untuk kita sama-sama muhasabah diri dalam mencari redha Ilahi menuju alam kekal di akhirat kelak.

1. Taubat yang istiqomah (tetap, teguh, utuh)

Tingkatan pertama inilah yang dikelaskan sebagai taubat nasuha bilamana seseorang yang bertaubat atas dosa besar yang zahir mahupun batin, menyesali dengan sepenuh hati dan berterusan menjauhi perkara-perkara berkaitan maksiat yang dianggap dosa besar itu serta dengan keazaman yang sebenar-benarnya tidak ingin dan tidak akan mengulangi perlakuan dosa besar tersebut sampai bila-bila.

2. Taubat pertengahan

Taubat dengan kesungguhan untuk menjauhi dosa besar dan tekad tidak akan mengulangi tetapi tanpa disedari kerap melakukan dosa-dosa kecil.

3. Taubat bersifat sementara

Orang yang bertaubat dan mampu bertahan dengan keazaman menjauhi dan tidak melakukan dosa dalam satu jangkamasa tertentu. Oleh kerana desakan nafsu dan bisikan syaitan yang direjam, dia kembali melakukan dosa yang pernah dilakukan sebelumnya.

4. Taubat yang lemah

Taubat dalam jangkamasa yang amat singkat. Selepas beberapa ketika dia kembali melakukan kemaksiatan yang berdosa besar itu dalam situasi sedar.

Termaktub di dalam kitab Ihya 'Ulumuddin, Imam al-Ghazali berpesan, "Bersegeralah bertaubat apabila anda menyedari telah melakukan kemaksiatan, kerana jika terlambat, dibimbangi akan lenyap sinar dan ketetapan keimanan dari hati."

Semoga dengan pengisian saya yang tidak seberapa ini dapat memberi manfaat untuk kita semua yang meyakini Ketauhidan Allah SWT dan meyakini hari pembalasan. Setiap yang baik itu dari Tuhan Yang Maha Mengetahui, kesilapan adalah daripada kekurangan den kelemahan diri saya sendiri.

"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak mempunyai dosa sama sekali." - Rasulullah SAW (HR Ibnu Majah)

Wallahua'lam...

Comments

Apih said…
salam..

lamo xjupo saing. sehat ko loni?