Dilema Seorang Blogger Fakta atau Auta

Assalamualaikum...

Nampak atau tidak itu bukan persoalannya. Iya, benar, penulis blog Naluri Ini semakin kerap mengemaskini isi kandungan dan mencetus edisi penulisan. Kerap bukan bermakna tetap atau konsisten cuma kadar kekerapannya semakin bertambah dari semasa ke semasa mengikut mood. Kebarangkalian untuk menjadi konsisten amat tinggi apabila idea dan sorotan bahan penulisan mula mendapat tempat di benak enjin carian internet. Faham atau tidak anda sebagai pembaca angguk sahaja. :)

Di kelapangan waktu untuk berfikir dan menaip ini saya ingin berkongsi dengan seluruh pembaca dan peminat bidang penulisan blog khususnya, tentang kebenaran fakta atau auta yang ada dalam diri seorang "Blogger". Seorang blogger akan lahir apabila terdetik di hati mereka untuk mengetengahkan atau mengutarakan serta berkongsi tentang kebolehan dan keprihatinan dalam masa yang sama cuba untuk menjadi seorang pencerita. Bukanlah suatu yang mudah untuk menjadi seorang blogger berwibawa seperti saya. Ada penulis blog yang mengambil kesempatan dengan setiap perkembangan dunia moden ini untuk berurus-niaga (promosi), dan paling ramai penulis yang lebih betah dalam menyuarakan sisip luahan peribadi.

Sekiranya anda serius sebagai blogger (blogger kental), anda pasti akan mengorek dan mencungkil pelbagai rahsia dalam kancah permainan blog. Contohnya tentang strategi permainan SEO (kata kunci, indeks bahasa, mesra enjin carian dll) dan kecekapan minda anda untuk bersenggama dengan masa dalam menghasilkan sesuatu bahan penulisan yang seronok untuk dibaca. Ramai orang yang punya idea untuk menulis tetapi tidak ramai yang berpeluang untuk mencurahkannya secara zahir. Berbagai-bagai alasan yang normal seperti tidak punya waktu senggang, malas untuk menaip dan sebagainya.

Saya akui, penglibatan dan percambahan blogger pada hari ini lebih bersifat berkepentingan untuk diri sendiri. Kewujudan blog-blog masakini hanya sekadar batu loncatan (perniagaan atas talian) dan cetusan idea peribadi yang tidak menarik perhatian pembaca. Kualiti susunan ayat dan penyusunan kata dari aspek penulisan semakin ketara terjejas. Kebanyakan blog dewasa ini tidak menarik minat golongan pembaca profesional kerana terlalu sedikit maklumat yang terkandung di dalamnya. Jika ada pun, terlalu banyak yang bersifat "plagiat" dengan bahan curahan yang berulang-ulang.

Sebagai penulis blog bebas, saya tidak mahu menyentuh tentang "niche" yang perlu ada pada sesebuah blog. Walaupun pada hakikatnya (serius) "niche" merupakan salah satu ciri khas yang perlu ada sekiranya anda (serius) ingin menjadi seorang penulis blog sebenar. Jika anda memang seorang blogger sejati, ada beberapa ciri khas lain yang anda akan pentingkan walaupun pada mata blogger lain tidak nampak keberkesanannya dalam menarik perhatian pembaca (khususnya). "SEO on Page" sebagai contoh. Kekemasan struktur blog, elemen yang tidak mengganggu kelancaran pengguna (gadjet yang jengkel), penggunaan gaya bahasa, dan pemilihan templat yang mesra pengunjung.

Sebenarnya isu ini sudah dicanang berulang. Sejak zaman dahulu lagi, tips tentang blog yang mesra pembaca sebegini telah banyak dinukilkan oleh sebilangan penulis blog (otai). Hanya segelintir yang mengambil peduli dan cakna dengan kepentingan tips sebegini. Kebanyakannya lebih cenderung untuk membina sebuah blog yang berstruktur pameran dan hiasan semata-mata. Tidak mementingkan keinginan pengunjung yang dahagakan maklumat dan bahan bacaan yang segar. Pengisian ini hanya sekadar karutan (serius) yang lahir dari lubuk hati seorang penulis dan pembaca blog yang dahagakan kualiti. Jika anda rasa saya kejam dengan kritikan sebegini, sila tampil dengan hujah yang mampu menangkis segalanya.

Akhir kata, jika anda rasa setiap luahan yang dinukilkan di atas auta belaka, fikir sekali lagi. Fakta atau auta?


Comments

Unknown said…
salam..boleh bagi tips penulisan x...suka dengan entri nie...padat
dengan informasi dn mudah difahami
yusenze said…
@kacang buncis
Tips tentang bahan penulisan dah banyak kali buat. Tapi ulang-ulang banyak kali pun xpe. Sebagai rujukan untuk menjiwai watak sebagai seorang penulis.