Idea dan Manfaat Bahan Penulisan

Assalamualaikum..

Bahasa indah lahir daripada susunan kata yang indah. Idea tentang bahan yang ingin dibicarakan adalah induk yang digunakan sebagai rujukan. Induk yang saya maksudkan adalah "Tajuk" atau "Topik" utama yang ingin dikupas. Tanpa sebuah tajuk yang khusus, penulis akan menemui jalan buntu dalam berinspirasi. Sebelum meneruskan agenda penulisan hari ini, ingin saya nyatakan bahawa saya bukanlah seorang penulis hebat, bukan karyawan, sasterawan jauh sekali. Apa yang saya kongsikan di ruangan ini hanyalah sekadar penilaian melalui penelitian saya tentang bahan dan struktur penulisan secara umum.

Tajuk mengenai "Idea Bahan Penulisan" ini sudah pernah saya kupas suatu ketika dahulu di bawah tajuk "Agenda, Kata Kunci dan Bahan Penulisan di dalam Blog". Bahan yang sudah lapuk tetapi perlu diketengahkan berulang-ulang agar kekal menjadi panduan para penulis seluruhnya. Panduan ringkas ini bukanlah intipati khusus yang perlu diamalkan oleh semua penulis tetapi memberi petunjuk kepada anda untuk menjadi seorang penulis yang beridentiti lebih gah di mata pembaca dan pengikut blog. Anda bebas untuk menulis dengan gaya tersendiri tanpa mengambilkira pandangan orang lain. Itu hak anda sebagai penulis blog yang umum.

Originaliti dalam Penulisan

Aspek penting yang seharusnya diberi perhatian oleh mana-mana penulis blog adalah tentang persembahan entri yang original. Persetankan tentang lenggok bahasa. Apa yang mencuri tumpuan pembaca adalah konteks keaslian tantang bahan yang disampaikan. Jika anda muncul dengan bahan yang malar segar, pasti pembaca lebih teruja untuk meneruskan pembacaan mereka sedari awal hingga ke noktah terakhir. Faktor keaslian bahan penulisan ini juga mampu memandu trafik yang organik tanpa disedari. Apa itu trafik organik? Trafik organik adalah kehadiran pengunjung melalui data pencarian di enjin-enjin carian seperti Google, Yahoo, Bing dan lain-lain.

Bijaksana dan Peka

Anda tidak perlu menjadi seorang yang pakar dalam bidang penulisan. Tetapi anda harus menjadi seorang yang bijak dan peka dalam mengetengahkan hasil penulisan anda. Maknanya setiap penceritaan yang anda ingin sampaikan itu mencapai matlamat iaitu sebagai hidangan pembaca. Pembaca atau pengunjung ibarat sumber udara bagi sesebuah blog. Tanpa kehadiran pembaca, blog yang dibina hanyalah sekadar hiasan yang tiada nilai. Oleh itu penulis harus bijak mengolah cerita bersandarkan tajuk yang dipilih.

Agenda bahan penulisan adalah suatu konsep penceritaan yang bernas untuk dikongsi buat tatapan umum. Karya yang asli serta susun atur plot akan memberi kelebihan dalam menarik perhatian pembaca. Ini merupakan etika dalam bidang penulisan rasmi atau tidak rasmi. Etika yang diperkatakan di sini tidak merujuk kepada bahan penulisan khusus yang mempunyai fakta bahkan merangkumi bahan penulisan yang bersifat peribadi. Dalam etika penulisan juga terkandung syarat yang mengambilkira soal sensitiviti. Awas dengan penggunaan bahasa yang kurang menyenangkan serta boleh mengundang pelbagai tanggapan negatif dan konflik.

Sekian untuk sesi pertemuan kali ini dalam ruangan blog dan blogger. Kaedah dan tips ini juga termasuk dalam teknik permainan SEO. Bagi blogger yang arif tentang SEO, pastinya anda lebih mengerti apakah maksud utama yang ingin saya sampaikan. Semoga bertemu di lembaran maya akan datang. Selamat mentafsir diri dengan merenung setiap entri-entri yang telah anda kongsikan. Adakah setiap pengisian anda memberi manfaat atau sebaliknya? Fikir sekali lagi.

Tips : Ruang dan suasana yang tenang boleh mengilhamkan anda untuk berinspirasi dengan lebih bijak. Cari keselesaan semasa menulis dengan memanfaatkan faktor persekitaran.

Comments

Tengkubutang said…
yea betul tu.. hu3.. teman lak.. mual2 nak jadikan blog tu sebagai tempat untuk buat side income.. lama2 dah jadi kesayangan lak blog tu.. hari2 nak update..
yusenze said…
kalau memang xde kerja yang khusus, fokus pada blog pun boleh jana pendapatan. Kena rajin cari bahan dan dalami selok-belok permainan SEO.