Rahsia Seorang Lelaki dan Ego

Assalamualaikum...

Bersua lagi di lembaran bicara bisu dengan susunan kata satu bahasa seribu makna. Pada sesi penulisan kali ini saya ingin berceloteh dengan pembaca tentang perihal "Rahsia Lelaki" yang anda tahu tetapi anda tidak pernah ambil peduli. Rahsia sangat ke? Mari kita kupas serba sedikit.

Lumrah penciptaan alam serta isinya yang merangkumi aspek kehidupan, semuanya dijadikan berpasangan. Dan setiap salah satu daripada pasangan itu mempunyai sisi pengertian dan struktur yang berbeza. Menyentuh mengenai topik yang cuba saya ketengahkan pada pengisian ruangan cinta dan karutan ini, setiap fakta yang dihujahkan adalah daripada pandangan saya semata-mata. Oleh yang demikian anda yang membaca mungkin mempunyai perspektif dan pendapat yang berbeza. Setiap daripada pandangan anda mempunyai unsur keunikan fakta yang tersendiri.

Secara umumnya kita sependapat bahawa nilai sensitiviti yang melibatkan soal emosi kebiasaannya adalah milik seorang yang bergelar "wanita". Tetapi secara dasarnya, setiap individu itu mempunyai kelebihan dan kekurangan dalam menangani amukan emosi tidak mengira jantina. Pada sesi penulisan yang lalu saya pernah mengetengahkan tentang topik "Lelaki Menangis?". Lelaki yang pada lumrah zahirnya tampak tegap dan cekal sebenarnya boleh berubah menjadi seorang yang sangat sensitif dengan desakan perasaan. Seorang lelaki juga mempunyai nilai sentimen yang berada pada tahap  maksima tetapi pergolakan perasaan itu seringkali ditumpaskan serta dikawal oleh satu kuasa yang dipanggil "ego".

Sisi Positif: Kepentingan ego pada diri seorang lelaki adalah suatu keberkesanan dalam menegakkan hak sebagai seorang pemimpin. Ego yang dimaksudkan di sini adalah dari sudut ketegasan dan ketetapan dalam membuat sebarang keputusan. Pendirian dan prinsip menjadi tunjang utama bagi seorang lelaki dalam menangani sebarang isu bilamana melibatkan soal kepimpinan. Egoistik dalam diri seseorang lelaki itu berbeza-beza. Anda boleh membuat kaji selidik sendiri dengan melihat kepada sifat dan sikap  pemimpin yang berada di sekeliling anda. Ego memberi impak yang positif kepada seorang pemimpin kerana ego itu sendiri menjadikan seseorang pemimpin itu disegani dan dihormati.

Sisi Negatif: Bagi lelaki yang terlalu berpegang dengan egoistik, kehadiran mereka amatlah menjengkelkan. Kadangkala pendirian mereka dalam mempertahankan keegoan melampaui batas hakikat yang sebenar. Lelaki yang hidup berpaksikan keegoan kebiasaannya tidak mahu mengalah walaupun dalam hal-hal yang remeh. Mereka lebih cenderung mempertahankan fakta yang tidak kukuh dengan pelbagai alasan asal sahaja mereka dianggap betul dan dipandang sebagai pemenang. Perkara ini memberi kesan negatif terhadap seorang lelaki kerana keegoaan yang tebal itu telah merosakkan kepentingan diri dalam pergaulan.

Walau segagah manapun seorang lelaki itu, mereka tetap mempunyai sikap toleransi dan peka dengan permainan emosi. Cuma kebenaran perkara ini seringkali dikaburi dengan lakonan dan sifat kepuraan. Lelaki akan mencuba sedaya upaya untuk mengekalkan momentum kelelakian mereka dengan berpura-pura tabah. Misalnya dalam soal cinta. Walaupun lelaki kelihatan amat mudah untuk meneruskan kehidupan setelah putus cinta, tetapi hakikatnya hati mereka juga berkeceramuk dengan pelbagai suntikan emosi. Menangis? Tidak dinafikan perkara ini juga berlaku kepada kebanyakan lelaki tetapi perkara ini disembunyikan. Tidak seperti golongan wanita yang lebih suka mendedahkan segaris perasaan sama ada secara terang-terangan atau melalui kiasan di laman-laman sosial.

Kesimpulannya, para wanita seharusnya lebih peka dalam menangani isu kepentingan ego yang mengawal emosi seorang lelaki. Ada sesetengah perkara remeh yang tegas dipertahankan oleh seorang lelaki kerana tidak mahu memperlihatkan sisi kelemahan. Walaupun sikap ego itu perit untuk diterima, namun demi menjaga kepentingan hubungan sejagat, para wanita harus menelan kepahitan hakikat ini. Mengalah bukanlah bererti anda seorang pengalah. Jika kena pada tempatnya kesabaran anda bakal memberi impak yang bermanfaat dalam menangani isu tentang sifat lelaki.

Para lelaki dan wanita, anda fikir anda seorang yang penyabar atau seorang yang hidup berlandaskan keegoaan? Fikir sekali lagi.


Comments